Breaking News
Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Mustholah Hadis / Sesi 34 – Al-Musalsal, Riwayah Al-Akaabir ‘An Al-Asaaghir
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sesi 34 – Al-Musalsal, Riwayah Al-Akaabir ‘An Al-Asaaghir

Download PDF
Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 18- Jan-16

 

 

AL-MUSALSAL

Definisi:

Pada bahasa:  “al-Musalsal”  ialah kata nama objek “al-Salsalah” iaitu bersambung sesuatu dengan yang lain, daripadanya terbit perkataan “Silsilah al-Hadid” (rantai besi) dinamakan dengan demikian kerana keserupaannya dengan “silsilah” dari sudut pertautan atau persamaan antara juzu’-juzu’.

Pada istilah:  Berterusan perawi-perawi sanad dengan satu sifat atau keadaan para perawi atau juga pada periwayatan.

Huraian Ta’rif

Hadis musalsal iaitu hadis yang perawi-perawi berturut-turut dengan:

  1. Berkongsi satu sifat
  2. Berkongsi satu keadaan
  3. Berkongsi satu sifat periwayatan

Bahagian-bahagiannya

Daripada huraian ta’rif jelas bahawa “musalsal” mempunyai tiga bahagian iaitu:

“Musalsal” dengan keadaan perawi, “musalsal” dengan sifat perawi dan “musalsal”  dengan sifat periwayatan.  Berikut ini penjelasan bagi setiap bahagian tersebut.

  1. Musalsal dengan keadaan perawi-perawi

 “Musalsal” dengan keadaan perawi-perawi itu sama ada ucapan sahaja, perbuatan sahaja atau kedua-duanya sekali.

  1. Musalsal Dengan Keadaan Perawi Secara Ucapan

Seperti hadis Mu’az bin Jabal bahawa Rasulullah s.a.w bersabda kepadanya

“Wahai Muaz, sesungguhnya aku menyintaimu maka ucapkanlah setiap kali engkau selesai bersembahyang: Ya Allah, tolonglah aku untuk mengingati, mensyukuri dan mengelokkan ibadat kepada Engkau.” Berlaku tasalsul dalm periwayatan hadis ini dengan kata-kata setiap perwainya, “sesungguhnya aku menyintaimu maka ucapkanlah.

  1. Musalsal Dengan Keadaan Perawi Secara Perbuatan

Seperti hadis Abu Hurayrah berkatanya,

Rasulullah s.a.w menyilang antara jari-jariku dan bersabda: “Allah menciptakan bumi pada hari Sabtu”

Setiap perawi telah meriwayatkan secara musalsal denga menyilang jari-jari perawi yang meriwayatkan hadis ini daripadanya.

  • Musalsal Dengan Keadaan Perawi Secara Ucapan Dan Perbuatan

Seperti hadis yang diriwayatkan Anas katanya Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Seseorang itu tidak akan mengecapi kemanisan iman sehinggalah dia beriman dengan taqdir, baik dan buruknya, manis dan pahitnya, dan Rasulullah s.a.w menggenggam janggutnya sambil mengucapkan: “Aku beriman dengan taqdir baik dan buruknya, manis dan pahitnya.”

Setiap perawi telah meriwayatkan secara musalsal dengan menggengam janggut dan mengucapkan, aku beriman dengan takdir baik dan buruknya, manis dan pahitnya.

  1. Musalsal Dengan Sifat-Sifat Perawi

Sifat perawi merangkumi ucapan dan juga perbuatan:

  1. Musalsal Dengan Sifat-Sifat Perawi Secara Ucapan

Seperti hadis musalsal dengan bacaan surah al-Saff.  Hadis ini menjadi musalsal kerana setiap perawi mengucapkan, si fulan membacanya dengan cara seperti ini.

Al-`Iraqi berkata: “Sifat-sifat perawi secara ucapan dan keadaan mereka secara ucapan sangat hampir bahkan saling menyerupai”.

  1. Musalsal Dengan Sifat-Sifat Perawi Secara Perbuatan

Seperti sama nama-nama perawi seperti musalsal perawi bernama Muhammad, atau sama nama-nama mereka, musalsal fuqaha’ atau hafiz-hafiz hadis atau sama nisbah seperti perawi-perawi Dimashq atau Mesir.

  1. Musalsal Dengan Sifat Periwayatan

Sifat periwayatan sama ada berkaitan dengan lafaz-lafaz penyampaian, masa periwayatan atau tempat periwayatan.

  1. Musalsal lalfaz-lafaz penyampainan seperti hadis musalsal dengan kata-kata setiap perawinya: saya telah mendengar, si fulan telah memberitahu kepada saya.
  2. Musalsal masa periwayatan, seperti hadis musalsal dengan periwayatan pada hari raya.
  3. Musalsal tempat periwayatan seperti hadis musalsal tentang dimaqbulkan doa di Multazam.

Hadis Musalsal Yang Paling Utama

Ialah yang menunjukkan kepada bersambung-sambung mendengar tanpa berlaku tadlis.

Faedah:

Mempunyai ketepatan (dabt) tambahan pada perawi-perawi.

Adakah Disyaratkan Ada “Tasalsul” Pada Semua Sanad?

Tidak disyaratkan ada “tasalsul” pada semua sanad kerana kadang-kadang “tasalsul” itu terputus di tengah atau di akhir sanad.  Walau bagaimanapun ulama menyebutkannya sebagai hadis ini “musalsal” setakat si fulan.

Tidak Ada Kaitan Antara “Tasalsul”  Dan Kesahihan

Sedikit sekali hadis musalsal selamat dari kedha’ifan walaupun asal hadis itu sahih bukan melalui jalan “tasalsul”.

Karangan Yang Paling Masyhur

  1. “Al-Musalsal al-Kubra” oleh al-Suyuti, mengandungi 85 hadis.
  2. “Al-Manahil al-Salsalah Fi al-Ahadith al-Musalsalah” oleh

 

 

 

 

RIWAYAH AL-AKAABIR `AN AL-ASAAGHIR

 

Definisi

 

Dari sudut bahasa: “al-Akabir” jama’ kepada “akbar” iaitu yang lebih tua, “al-Asaghir” jama’ “asghar” iaitu yang lebih muda. Maksudnya ialah periwayatan perawi-perawi yang lebih tua daripada perawi-perawi yang lebih muda.

 

Dari sudut istilah: Periwayatan seseorang perawi daripada orang yang lebih rendah daripadanya dari sudut umur dan “tabaqah” (kelas atau generasi) atau dari sudut ilmu dan hafalan.

 

 

Huraian Definisi

 

Seorang perawi meriwayatkan daripada orang yang lebih muda daripadanya dan lebih rendah “tabaqah”nya. Rendah pada “tabaqah” seperti periwayatan sahabat daripada tabi’in dan sebagainya.

 

Atau periwayatan daripada perawi yang kurang ilmu atau hafalan seperti periwayatan seorang alim yang hafiz daripada seorang syeikh walaupun syeikh itu lanjut usia. Bagaimanapun patut diberi perhatian bahawa semata-mata lebih tua atau terdahulu dalam “tabaqah” tanpa ada persamaan pada ilmu daripada orang yang diambil riwayat daripadanya tidak memadai untuk dinamakan “Riwayah al-Akaabir `An al-Asaaghir”. Contoh-contoh berikut akan menjelaskan perkara ini.

 

 

Bahagian-Bahagian Dan Contoh-Contohnya

 

Riwayah “al-Akaabir `An al-Asaaghir” ini dapat dibahagikan kepada tiga bahagian:

  1. Perawi itu lebih tua dan tabaqahnya lebih terdahulu daripada orang yang diambil riwayat daripadanya. (Ya’ni di samping ilmu dan hafalan).
  2. Perawi itu lebih tinggi kedudukan bukan dari segi usia daripada orang yang diambil riwayat daripadanya. Seperti riwayat hafiz alim daripada syeikh yang tua yang tidak hafiz. Seperti riwayat Malik daripada `Abdullah bin Dinar.( Malik adalah seorang imama dan hafiz manakala Abdullah bin Dinar adalah seorang syeikh, perawi sahaja walaupun dia lebih tua dari Malik)
  3. Perawi itu lebih tua dan lebih tinggi kedudukan daripada orang yang diambil riwayat daripadanya yakni lebih tua dan lebih alim. Seperti riwayat al-Barqani daripada al-Khatib.

(Al-Barqani lebih tua dari al-Khatib dan lebih tinggi kedudukan daripadanya kerana beliau seorang sheikh dan gurunya serta lebih alim daripadanya.

 

 

Antara Riwayah al-Akabir `An al-Asaghir

 

  1. Riwayah sahabat daripada tabi’in seperti riwayat al-`Abadilah (iaitu empat orang sahabat yang bernama ‘Abdillah iaitu Abdullah bun Umar, ‘Abdullah Bn ‘Abbas, ‘Abdullah bin Az-Zubair ‘Abdullah bin Amr bin al-‘As) dan lain-lain daripada Ka’b bin al-Ahbar.
  2. Riwayat tabi’in daripada tabi’- tabi’in seperti riwayat Yahya bin Sa’id al-Ansari daripada Malik.

 

Faedah mengetahui Riwayah al-Akabir `An al-Asaghir

 

  1. Supaya tidak dianggap orang yang diambil riwayat daripadanya lebih utama dan lebih tua daripada perawi kerana itulah yang biasa.
  2. Supaya jangan disangka berlaku pertukaran dan pembalikan dalam sanad kerana kebiasaannya periwayatan itu oleh perawi yang lebih muda daripada yang lebih tua.

 

Karangan Yang Masyhur

 

 

Kitab “Ma Rawahu al-Kibar `An al-Sighar Wa al-Aba `An al-Abna’” oleh Hafiz Abu Ya’qub Ishaq bin Ibrahim al-Warraq yang meninggal dunia pada tahun 403H

 

Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

Sesi 40 – Mengenali Perawi Thiqah Yang Mengalami Ikhtilat

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 29- Feb-16     MENGENALI PERAWI THIQAH YANG MENGALAMI …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>