Breaking News
Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Mustholah Hadis / Sesi 33 – Kesenian Sanad – Al-Isnad A-‘Aaali Wa Al-Naazil
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sesi 33 – Kesenian Sanad – Al-Isnad A-‘Aaali Wa Al-Naazil

Download PDF
Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 10- Jan-16

 

 

Fasal Pertama

KESENIAN SANAD

AL-ISNAD AL-‘AALI WA AL-NAAZIL

Pendahuluan

Selain menjadi sunnah yang amat dititikberatkan, sanad merupakan ciri khusus yang utama bagi umat ini yang tidak dimiliki oleh mana-mana umat yang terdahulu. Oleh itu, menjadi kewajipan kepada setiap individu berpegang dengannya ketika menukilkan hadis dan riwayat. Ibn al-Mubarak berkata: “Sanad itu sebahagian dari agama. Jika tidak kerana sanad, sesiapa sahaja akan mengatakan apa yang disukainya”. Sufyan al-Thawri berkata: “Sanad adalah senjata orang mukmin.”

Demikian juga mencari sanad yang tinggi merupakan sunnah sebagaimana kata Imam Ahmad bin Hanbal: “Mencari sanad yang tinggi adalah sunnah di sisi salaf”. Murid-murid Ibn Mas’ud mengembara dari Kufah ke Madinah untuk belajar dan mendengar hadis daripada Sayyidina ‘Umar. Oleh kerana itu, mengembara untuk mencari hadis sangat dituntut dan digalakkan. Ramai dari kalangan sahabat yang telah mengembara untuk mencari sanad yang tinggi, antara mereka ialah Abu Ayyub dan Jabir r.hum.

Definisi

Dari sudut bahasa “al-Ali” ialah kata nama pelaku daripada “al-Uluww”  iaitu “ketinggian” lawan kepada “al-Nuzul” iaitu “kerendahan”. “Al-Nazil” pula kata nama pelaku daripada “al-Nuzul”.

Mengikut istilah, “al-Sanad al-Ali” ialah sanad yang mempunyai jumlah perawi yang sedikit berbanding dengan sanad lain yang mempunyai bilangan perawi lebih ramai yang membawa hadis yang sama.

“Al-Sanad al-Nazil” ialah sanad yang mempunyai jumlah perawi yang ramai berbanding dengan sanad lain yang memyampaikan kepada hadis sama dengan bilangan perawi lebih sedikit.

Bahagian-Bahagian Ketinggian Sanad

Ketinggian sanad terbahagi kepada lima bahagian, salah satu daripadanya adalah ketinggian mutlak dan yang lain adalah ketinggian secara nisbi (relatif):

  1. Hampir kepada Rasulullah s.a.w. dengan sanad yang sahih dan bersih.

Ini merupakan bahagian ketinggian yang paling utama.

  1. Hampir dengan salah seorang imam hadis walaupun selepasnya terdapat ramai bilangan perawi yang menyampaikan kepada Rasulullah s.a.w.

Contohnya dekat dengan al-A’mash atau Ibn Jurayj, Malik, atau imam yang lain dengan syarat sanad yang sahih dan bersih.

  1. Hampir dengan melihat kepada periwayatan salah satu Sunan Sittah atau kitab-kitab hadis lain yang diakui.

Bahagian ini lebih diberi perhatian oleh ulama dan ia terbahagi pula kepada “muwaafaqah”, “abdaal”,”musaawah” dan “musaafahah”.

  1. Muwaafaqah

Iaitu sampainya kepada syeikh salah seorang pengarang kitab bukan melalui jalannya dengan bilangan perawi yang berkurangan berbanding jika diriwayatkan melaluinya.

Contohnya:

Hafiz Ibn Hajar menyebutkan di dalam “Sharh Nukhbah al-Fikar”: Imam al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis daripada Qutaybah daripada Malik. Sekiranya kita meriwayatkan hadis tersebut melalui jalan al-Bukhari maka bilangan perawi antara kita dan Qutaybah menjadi seramai lapan orang.  Tetapi jika kita meriwayatkannya melalui Abu al-`Abbas al-Siraj (salah seorang guru al-Bukhari) daripada Qutaybah maka bilangan perawi antara kita dan Qutaybah hanya tujuh orang.  Dengan ini, kita memperolehi “muwaafaqah” dengan Imam al-Bukhari pada sheikhnya di samping ketinggian sanad berbanding dengan beliau.

  1. Badal

Iaitu sampai kepada guru bagi guru salah seorang pengarang kitab hadis dengan jalan lain dengan bilangan perawi yang berkurangan daripada jalan syeikh tersebut.  Contohnya seperti yang disebutkan oleh Hafiz Ibn Hajar: “Seperti sanad itu sendiri sampai kepada kita melalui jalan lain kepada al-Qa’nabi ((salah seorang guru al-Bukhari)  daripada Malik maka al-Qa’nabi itu menjadi “badal” kepada Qutaybah.

  • Musaawah

“Musaawah” iaitu sama bilangan sanad daripada perawi sehingga kepada akhirnya bersama-sama sanad salah seorang pengarang kitab

Contohnya seperti yang disebutkan oleh Hafiz Ibn Ibn Hajar: “Seperti al-Nasa’i meriwayatkan satu hadis yang mejadi perantaraan antara beliau dengan Rasulullah s.a.w seramai 11 orang.  Hadis itu sendiri kita meriwayatkannya dengan sanad yang lain melalui perantaraan 11 orang juga.  Dengan itu, kita menyamai al-Nasa’i dari sudut bilangan.

  1. Musaafahah

Iaitu sama bilangan sanad daripada perawi hingga kepada hujungnya bersama dengan sanad murid salah seorang pengarang-pengarang.  Dinamakan “musafahah” kerana kebiasaannya dua orang perawi yang bertemu akan berjabat  tangan (musafahah)

  1. Ketinggian Dengan Sebab Terdahulu Kewafatan Perawi

Contohnya seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi: “Hadis yang saya terima daripada tiga orang daripada al-Bayhaqi daripada al-Hakim lebih tinggi daripada saya meriwayatkan daripada tiga orang daripada Abu Bakr bin Khalf daripada al-Hakim kerana kewafatan al-Bayhaqi itu terdahulu daripada kewafatan Ibn Khalf. (Al-Bayhaqi meninggal dunia pada tahun 458H manakala Ibn Khalf meninggal dunia pada tahun 487H)

  1. Ketinggian Dengan Sebab Terdahulu Mendengar Hadis

Iaitu terdahulu mendengar hadis daripada syeikh. Sesiapa yang mendengar dahulu maka ia dikira lebih tinggi daripada orang yang mendengar kemudian. Contohnya dua orang perawi mendengar hadis daripada seorang syeikh dan “sama’ ” salah seorang itu sejak enam puluh tahun sedangkan seorang lagi sejak empat puluh tahun dalam keadaan bilangan perawi yang menyampaikan kepada mereka berdua itu sama maka yang pertama lebih tinggi daripada yang kedua. Ini lebih diberikan perhatian apabila guru seorang itu “ikhtilat”(fikiran bercelaru) atau nyanyuk.

Bahagian Kerendahan Sanad

Terdapat lima bahagian sanad rendah dan dapat diketahui daripada lawannya iaitu ketinggian sanad. Setiap bahagian ketinggian sanad adalah lawan kepada setiap bahagian kerendahan sanad.

Adakah Ketinggian Sanad Lebih Utama Atau Kerendahan Sanad?

Mengikut pendapat sahih yang dipegang oleh majoriti ulama, ketinggian sanad itu lebih utama kerana ia menjauhkan daripada andaian banyak berlaku kecacatan dalam hadis dan kerendahan sanad itu tidak disukai. Ibn al-Madini berkata: “Kerendahan sanad itu adalah pesimis”. Hal ini berlaku apabila sanad itu sama kuat.

Kerendahan sanad itu lebih utama apabila sanad yang rendah itu mempunyai keistimewaan (seperti perawi-perwainya lebih thiqah, lebih kuat hafazan atau lebih faqih daripada perawi-perawi sanad tinggi)

Karangan-Karangan Yang Masyhur

Secara umumnya, tidak terdapat kitab khusus tentang sanad-sanad tinggi atau rendah tetapi ulama hadis telah menulis secara berasingan juzuk-juzuk yang dinamakan sebagai “al-Thulathiyyat” yang bermaksud hadis-hadis yang mempunyai perantaraan antara pengarang dan Rasulullah s.a.w seramai tiga orang sahaja. Ini sebagai isyarat kepada perhatian ulama terhadap sanad-sanad tinggi. Antaranya ialah:

  1. Thulathiyyat al-Bukhari oleh Ibn Hajar
  2. Thulathiyyat Ahmad bin Hanbal oleh al-Saffarayni.

 

 

 

Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

Sesi 40 – Mengenali Perawi Thiqah Yang Mengalami Ikhtilat

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 29- Feb-16     MENGENALI PERAWI THIQAH YANG MENGALAMI …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>