Breaking News
Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Mustholah Hadis / Sesi 32 – Adab-adab Guru Hadis Dan Adab-adab Pelajar Hadis
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sesi 32 – Adab-adab Guru Hadis Dan Adab-adab Pelajar Hadis

Download PDF
Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 3- Jan-16

 

 

FASAL KEDUA

ADAB-ADAB PERIWAYATAN HADIS

PERBAHASAN PERTAMA : ADAB GURU HADIS

PERBAHASAN KEDUA : ADAB PELAJAR HADIS

 

PERBAHASAN PERTAMA

 

Adab-adab Guru Hadis

Pendahuluan

Oleh kerana menyibukkan diri dengan hadis merupakan cara yang paling utama untuk mendekatkan diri kepada Allah s..w.t. dan tugas yang paling mulia, maka orang yang terlibat dengannya dan menyebarkannya di kalangan orang ramai sepatutnya menghiaskan diri dengan akhlak-akhlak yang mulia dan penampilan yang elok. Dia mestilah menjadi gambaran yang tepat kepada apa yang diajarkan kepada orang ramai di samping terlebih dahulu mempraktikkannya pada diri sendiri sebelum menyuruh orang lain.

 

Sifat-sifat utama yang guru hadis perlu menghiaskan diri dengannya:

  1. Membetulkan niat dan mengikhlaskannya. Mensucikan hati daripada tujuan-tujuan dunia seperti suka menjadi ketua dan cintakan kemasyhuran.
  2. Hendaklah kesungguhannya yang utama untuk menyebarkan hadis, menyampaikan daripada Rasulullah s.a.w. untuk mendapatkan ganjaran pahala yang besar (yakni sebagai melaksanakan perintah Rasulullah s.a.w:”Sampaikanlah daripada aku walaupun sepotong ayat”, dan “Hendaklah orang yang hadir menyampaikan kepada orang tidak hadir”)
  3. Tidak menyampaikan hadis di hadapan orang yang lebih utama daripadanya dari segi usia dan keilmuan.
  4. Menunjukkan orang yang bertanya kepadanya tentang sesuatu hadis yang ada pada ahli hadis yang lain.
  5. Tidak mengelakkan diri daripada menyampaikan hadis kepada seseorang kerana merasakan dia seorang yang tidak ikhlas. Orang itu diharapkan dapat memperbaiki niatnya.
  6. Mengadakan majlis untuk menyampaikan dan mengajar hadis apabila sudah berkelayakan kerana itu peringkat periwayatan yang tertinggi (Majlis ini dinamakan dengan majlis “imlaa’ ” hadis yang diadakan pada hari-hari tertentu samada untuk umum atau pelajar-pelajar khusus mengikut kesesuain audiens)

Perkara-perkara Yang Digalakkan Apabila Menghadiri Majlis Mencatatkan Hadis

  1. Membersihkan diri, memakai wangian dan menyikat janggut.
  2. Duduk dengan tenang dan kelihatan hebat sebagai membesarkan hadis Rasulullah s.a.w.
  3. Menghadapkan wajahnya kepada semua peserta majlis dan jangan memberi perhatian kepada individu yang tertentu sahaja.
  4. Memulakan majlis dan menutupkannya dengan memuji-muji Allah s.w.t. dan berselawat kepada Rasulullah s.a.w serta berdoa dengan doa yang sesuai dengan keadaan.
  5. Menjauhi perkara yang tidak dapat diterima oleh akal hadirin atau hadis-hadis yang tidak difahami oleh mereka.
  6. Menyudahkan majlis imlaa’ (membacakan hadis dengan tujuan untuk disalin) dengan cerita-cerita untuk menghiburkan hati dan menghilangkan kejemuan.

Berapakah Usia Yang Sepatutnya Ahli Hadis Tampil Untuk Menyampaikan Hadis?

Terdapat perbezaan pendapat dalam perkara ini.

  1. Dikatakan apabila berusia lima puluh tahun, empat puluh tahun dan lain-lain lagi.
  2. Mengikut pendapat yang sahih, apabila seseorang itu berkelayakan dan diperlukan maka hendaklah dia mengadakan majlis tanpa mengira usia.

Kitab-kitab Yang Terkenal

  1. “Al-Jami’ Li Akhlaq al-Rawi Wa Adab al-Sami’ ” karangan al-Khatib al-Baghdadi.
  2. “Jaami’ Bayaan al-‘Ilm Wa Fadlih Wa Ma Yanbaghi Fi Riwayatih Wa Hamlih” oleh Ibn ‘Abd al-Barr.

 

PERBAHASAN KEDUA

Adab-Adab Pelajar Hadis

Pendahuluan

Yang dimaksudkan dengan adab-adab pelajar hadis ialah pekerti-pekerti tinggi dan akhlak-akhlak mulia yang mesti dimiliki oleh pelajar yang bersesuaian dengan kemuliaan ilmu yang dicarinya, iaitu hadis Rasulullah s.a.w. Di antara adab-adab itu ada yang menyamai adab-adab guru hadis dan ada yang tidak sama.

Adab-Adab Yang Sama Dengan Guru Hadis

  1. Memperbetulkan niat dan mengikhlaskan diri kerana Allah dalam menuntutnya.
  2. Berwaspada terhadap tujuan mencarinya untuk memperolehi maksud-maksud dunia. Abu Dawud dan Ibn Majah telah mengeluarkan sebuah hadis daripada Abu Hurayrah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesiapa yang mempelajari satu ilmu yang dicari melaluinya itu keredhaan Allah tetapi dia tidak mencarinya melainkan untuk memperolehi habuan dunia, dia tidak akan mendapati bauan syurga pada hari Kiamat

  1. Beramal dengan hadis-hadis yang didengarinya.

Adab-Adab Khusus Kepada Pelajar Hadis

  1. Memohon daripada Allah s.w.t. taufiq, kemudahan, kelurusan dan pertolongan supaya dapat mencatat hadis dan memahaminya.
  2. Memberi perhatian sepenuhnya dan mencurahkan segala usaha untuk memperolehi ilmu hadis.
  3. Hendaklah memulakan pengajian hadis dengan guru-guru di tempatnya yang paling utama dari segi sanad, ilmu dan agama.
  4. Menghormati dan memuliakan guru, ini sebagai memuliakan ilmu itu sendiri. Mencari keredhaan guru dan bersabar dengan kekasarannya jika ada.
  5. Menunjukkan faedah-faedah ilmiah yang diperolehinya kepada teman-teman dan saudara-saudaranya dalam belajar dan jangan pula disorokkan. Menyorokkan sesuatu faedah ilmiah adalah perbuatan tercela yang dilakukan oleh pelajar-pelajar yang rendah akhlaknya sedangkan tujuan menuntut ilmu ialah untuk menyebarkannya.
  6. Janganlah seseorang itu dihalangi oleh sifat malu dan sombong untuk mendengar dan memperolehi hadis walaupun daripada seseorang yang lebih muda daripadanya atau lebih rendah kedudukannya.
  7. Tidak memadai mendengar dan mencatat hadis bahkan perlu kepada pengetahuan dan kefahaman. Jika tidak hanya memenatkan diri sahaja tanpa memperolehi apa-apa faedah.
  8. Dari segi mendengar, mencatat dan memahami hadis, maka hendaklah dia mengutamakan Sahih al-Bukhari dan Muslim kemudian diikuti dengan Sunan Abi Dawud, Jami al-Tirmidhi dan Sunan Al-Nasa’i. Setelah itu al-Sunan al-Kubra oleh al-Bayhaqi dan kitab-kitab hadis lain yang diperlukan dalam bentuk masanid dan jamawi seperti Musnad Ahmad dan Muwatta Malik. Selain itu hendaklah dirujuk juga kitab-kitab ‘Ilal al-Hadith seperti “Ilal al-Daruqutni. Berkenaan ilmu rijal, kitab-kitab seperti al-Tarikh al-Kabir oleh Imam al-Bukhari, al-Jarh Wa al-Ta’dil oleh Ibn Abi Hatim, di samping kitab Ibn Makula bagi menentukan sebutan nama-nama perawi. Kitab al-Nihayah pula untuk mengetahui kalimah-kalimah gharib yang terdapat hadis.

 

 

Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

Sesi 40 – Mengenali Perawi Thiqah Yang Mengalami Ikhtilat

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 29- Feb-16     MENGENALI PERAWI THIQAH YANG MENGALAMI …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>