Breaking News
Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Mustholah Hadis / Sesi 31- Kaifiat Periwayatan Hadis, Gharib Al-Hadith
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sesi 31- Kaifiat Periwayatan Hadis, Gharib Al-Hadith

Download PDF
Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 27- Dis-16

 

 

PERBAHASAN KEEMPAT

Kaifiat Periwayatan Hadis

Yang dimaksudkan tajuk ini ialah kaifiat yang digunakan untuk meriwayatkan hadis dan adab-adab yang perlu dimiliki serta perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Sebahagiannya telahpun dibincangkan dalam perbahasan yang lalu. Di sini ada beberapa perkara yang tertinggal:

Adakah harus periwayatan perawi daripada kitabnya apabila ia tidak mengingati apa di dalamnya ?

Ini merupakan perkara yang diperselisihkan oleh para ulama. Ada yang bersikap keras, bermudah dan bersederhana.

Ulama yang bersikap keras menegaskan tidak boleh dijadikan hujah melainkan apa yang diriwayatkan oleh perawi berdasarkan kepada ingatannya.  Pendapat ini dinukilkan daripada Malik, Abu Hanifah dan Abu Bakar al-Saydalani al-Shafi’i.

Ulama yang bersikap mudah dan longgar meriwayatkan hadis daripada catatan-catatan yang tidak dibandingkan dengan naskhah asal atau dengan usulnya, antara mereka ialah Ibn Lahi’ah.

Ulama yang sederhana dan mereka itu mewakili majoriti berpendapat, apabila perawi mencukupi syarat-syarat dalam penerimaan hadis dan membandingkannya, maka harus kepadanya meriwayatkan hadis daripada kitab walaupun kitab tidak ada padanya jika kitabnya itu diyakini selamat daripada penukaran dan pengubahan.  Terutamanya jika perawi itu dari kalangan perawi yang mengetahui berlakunya pengubahan secara umum.

Hukum Periwayatan Orang Buta Yang Tidak Menghafaz Apa Yang Telah Didengarinya

Apabila seorang perawi buta yang tidak mengingati apa yang telah didengarinya meminta pertolongan daripada perawi thiqah untuk menulis hadis yang didengarinya, dicatat dan dijaga tulisannya serta dia amat cermat ketika membaca kepada perawi buta itu dan diyakini selamat daripada perubahan maka sah periwayatannya di sisi kebanyakan ulama hadis.  Perawi buta itu dikira seperti orang buta huruf yang tidak menghafaz.

Periwayatan Hadis Dengan Makna Dan Syarat-Syaratnya

Ulama berbeza pendapat tentang keharusan dan larangannya.

  1. Satu golongan ulama hadis, usul dan fiqh telah melarang periwayatan hadis dengan makna. Antara yang berpendapat demikian ialah Ibn Sirin dan Abu Bakar al-Razi.
  2. Majoriti ulama salaf termasuk ahli hadis dan ulama usul dan fiqh mengharuskannya termasuklah imam yang empat.

Ulama yang mengharuskan periwayatan secara makna telah meletakkan beberapa syarat:

  1. Perawi tersebut hendaklah mengetahui lafaz-lafaz (Arab) dan makna-maknanya.
  2. Mahir dengan sesuatu yang mengubah makna lafaz.

Keharusan ini bukan dalam bab penulisan kerana tidak harus meriwayatkan hadis dengan makna dalam tulisan dan tidak harus juga mengubah lafaz walaupun dengan makna yang sama.  Ini kerana keharusan riwayat secara makna itu adalah kerana terpaksa apabila perawi itu tidak mengingati salah satu kalimah.  Setelah periwayatan hadis sudah tetap dan sabit dalam kitab-kitab maka sudah tidak ada lagi keadaan terpaksa untuk meriwayatkan hadis dengan makna.  Bagaimanapun, seeloknya bagi perawi yang menyampaikan hadis dengan makna mengucapkan “atau seperti yang disabdakan”, “lebih kurang seperti itu” atau “lebih kurang sama dengannya”.

“Al-Lahn” : Kesilapan Nahu Dalam Hadis Dan Puncanya

Sebab utama “al-lahn” dalam hadis iaitu salah membaca hadis ialah:

  1. Tidak mempelajari ilmu nahu dan bahasa. Oleh itu menjadi kewajipan kepada pelajar hadis mempelajari nahu dan bahasa yang dapat mengelakkannya daripada “lahn” dan “tashif”. Al-Khatib al-Baghdadi meriwayatkan daripada Hammad bin Salamah, “Perumpamaan mereka yang mempelajari hadis tetapi tidak mengetahui nahu adalah seperti keldai yang membawa guni tanpa barli”
  2. Mengambil hadis dari buku dan lembaran kertas tanpa melalui guru.

Kita telahpun membincangkan tentang beberapa cara penerimaan dan penyampaian hadis.  Ada di antaranya itu lebih kuat berbanding dengan yang lain.  Metode yang paling kuat ialah mendengar hadis dari mulut syeikh atau yang dibacakan kepada syeikh.  Sewajibnya kepada mereka yang terlibat dengan hadis hendaklah menerimanya dari mulut syeikh yang alim dan tahqiq sehingga terselamat daripada kesalahan dan pengubahan dan tidak sepatutnya pelajar hadis mendapatkan kitab-kitab lalu mengambil daripadanya hadis-hadis dengan menganggap itulah guru-gurunya kerana itu hanya memperbanyakkan silap dan “tashif”.  Oleh sebab itu sejak dahulu lagi ulama menegaskan: “Janganlah diambil al-Quran daripada “mushafi” (orang yang mengambil al-Quran darui mushaf tanpa mempelajarinya dari guru-guru dan qari’) dan jangan diterima hadis daripada sahafi” (orang yang mengambil hadis daripada buku dengan tidak berguru dengan para sheikh hadis).

 

GHARIB AL-HADITH

Pengertian bahasa

Menurut pengertian bahasa, “al-Gharib” ialah seorang yang berjauhan dari sanak saudaranya. Yang dimaksudkan dengan lafaz ini ialah lafaz-lafaz yang tersembunyi maknanya. “Gharuba” sama timbangan dengan maknanya “ghamuda” (sukar) dan “khafiya” (tersembunyi)

Pengertian Istilah

Lafaz yang sukar yang terdapat dalam hadis yang jauh untuk difahami kerana jarang penggunaannya.

Kepentingan Dan Kesukarannya

Bahagian ini merupakan cabang ilmu yang sangat penting dan amat tercela jika ahli hadis tidak mengetahuinya. Namun demikian seseorang perlu berhati-hati dalam mengharungi bidang ini lantaran kerana kesukarannya. Hendaklah mereka yang memasukinya bertaqwa kepada Allah daripada berani menafsirkan kata-kata Rasulullah s.a.w dengan semata-mata sangkaan dan ulama salaf cukup teliti tentangnya.

Sebaik-baik Penafsiran

Sebaik-baik penafsiran ialah dengan melihat kepada riwayat lain yang menjelaskannya seperti hadis `Imran bin Husayn tentang sembahyang pesakit,:

 “Hendaklah bersembahyang dengan berdiri, jika tidak mampu maka duduklah, jika tidak mampu maka dia berbaring di atas  lambung.”

Lafaz “ `ala janb” itu telah ditafsirkan oleh hadis `Ali dengan lafaznya, di atas rusuk kanannya dalam keadaan mengadap kiblat dengan mukanya.

Kitab-Kitab Yang Termasyhur

  1. “Gharib al-Hadith” oleh Abu al-Qasim Ibn Sallam
  2. “Al-Nihayah Fi Gharib al-Hadith Wa al-Athar” oleh Ibn al-Athir. Ini adalah kitab gharib hadis yang terbaik.
  3. “Al-Durr al-Nathir” oleh al-Suyuti, ringkasan kepada al-Nihayah. 4. “Al-Faiq” oleh al-Zamakhshari.

 

Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

Sesi 40 – Mengenali Perawi Thiqah Yang Mengalami Ikhtilat

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 29- Feb-16     MENGENALI PERAWI THIQAH YANG MENGALAMI …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>