Breaking News
Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Mustholah Hadis / Sesi 29 – Qiraa’ah ‘Ala Al-Syaykh, Ijazah, Al-Munawalah, Al-Kitabah, Al-I’iam, Wasiay, Al-Wijadah
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sesi 29 – Qiraa’ah ‘Ala Al-Syaykh, Ijazah, Al-Munawalah, Al-Kitabah, Al-I’iam, Wasiay, Al-Wijadah

Download PDF
Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 20- Dis-16

 

 

(sambungan) CARA-CARA PENERIMAAN DAN LAFAZ-LAFAZ PEMYAMPAIAN HADIS

Qiraa’ah ‘Ala Al-Syaykh (membaca di hadapan guru)

Majoriti Ulama hadis menamakannya dengan `ard (pembentangan).

Bentuknya: Pelajar membaca sedangkan syeikh mendengar sama ada pelajar itu sendiri membaca atau pelajar lain yang membaca dan dia mendengar, sama ada bacaan itu daripada hafalan atau daripada buku, sama ada syeikh memerhatikan pembaca itu daripada ingatannya atau beliau memegang bukunya sendiri atau perawi thiqah yang lain.

Hukum Periwayatan Dengan Metode Ini

Riwayat dengan metode ini sah tanpa ada khilaf dalam semua bentuk yang dinyatakan di atas kecuali ada pendapat yang dinukilkan daripada sesetengah ulama’ yang terlalu tegas dan pendapat mereka itu tidak diambilkira.

Tingkatannya

Ada khilaf tentang kedudukannya:

  1. Sama taraf dengan Sama’. Pendapat ini diriwayatkan daripada Malik, al-Bukhari dan kebanyakan ulama’ Hijaz dan Kufah.
  2. Lebih rendah daripada Sama’. Ini diriwayatkan daripada majoriti ulama di sebelah timur dan inilah yang sahih.
  3. Lebih tinggi daripada Sama’. Ini diriwayatkan daripada Abu Hanifah, Ibn Abi Dhi’b dan satu riwayat daripada Malik.

Lafaz-Lafaz Penyampaian

Yang lebih cermat: “saya membaca di hadapan fulan” atau “dibacakan di hadapannya dalam keadaan saya mendengar dan dia memperakuinya”

Harus dengan lafaz-lafaz “Sama’ “ tetapi disyaratkan ada lafaz qira`ah seperti haddathana qira’atan `alayh (beliau menceritakan kepada kami secara pembacaan di hadapannya).

Yang umum dipakai di kalangan ulama’ hadis ialah “akhbarana” sahaja.

Ijazah

Definisi: memberi keizinan untuk meriwayatkan hadis secara lisan atau bertulis.

Bentuknya: Syeikh berkata kepada salah seorang pelajarnya: Saya mengizinkan anda meriwayatkan Sahih al-Bukhari daripada saya.

Bahagian-bahagiannya:

Ada beberapa kategori ijazah tetapi di sini penulis hanya akan menyebutkan 5 sahaja daripadanya.

  1. Syeikh memberi keizinan kepada orang tertentu untuk riwayat yang tertentu seperti dia mengatakan: Saya memberi kepada anda meriwayatkan Sahih al-Bukhari.  Kategori ini adalah bahagian ijazah tanpa munawalah yang paling tinggi.
  2. Syeikh memberi ijazah kepada orang tertentu untuk menerima riwayat yang tidak tertentu seperti dia mengatakan: Saya memberi ijazah kepada anda untuk meriwayatkan hadis-hadis yang saya dengar.
  3. Memberi ijazah kepada kepada orang yang tidak tertentu dengan riwayat yang tidak tertentu seperti saya memberi ijazah kepada orang-orang di zaman saya untuk meriwayatkan hadis-hadis yang saya dengar.
  4. Memberi ijazah kepada orang yang tidak diketahui atau riwayat yang tidak diketahui seperti saya memberi ijazah kepada anda untuk meriwayatkan kitab sunan, sedangkan dia meriwayatkan beberapa kitab sunan atau saya memberi ijazah kepada Muhammad bin Khalid al-Dimashqi sedangkan terdapat ramai orang yang mempunyai nama ini.
  5. Memberi ijazah kepada pihak yang tidak ada sama ada sebagai ikutan kepada orang yang ada seperti, “saya memberi ijazah kepada si fulan dan anak yang akan dilahirkan atau kepada orang yang belum dilahirkan lagi secara berseorangan seperti saya memberi ijazah kepada anak si fulan yang akan dilahirkan”.

Hukumnya

Bahagian yang pertama adalah sahih menurut pendapat majoriti ulama dan dipakai secara berterusan serta harus meriwayatkan dengan cara ini dan beramal dengannya. Beberapa kumpulan ulama pula menganggap cara ini tidak tepat dan ini salah satu daripada dua pendapat yang dinukilkan daripada Imam al-Shafi’i.

Sementara bahagian-bahagian ijazah yang lain, khilaf tentang keharusannya lebih ketara lagi. Bagaimanapun, penerimaan dan periwayatan hadis dengan cara ini (ijazah) merupakan penerimaan dengan cara yang lemah dan tidak sepatutnya bermudah dengannya.

Lafaz-lafaz Penyampaian

  1. Yang sebaiknya dengan mengatakan (si fulan telah mengijazahkan kepada saya).
  2. Diharuskan dengan lafaz “sama’ “ yang mempunyai ikatan seperti beliau telah menceritakan kepada kami secara ijazah atau dia telah mengkhabarkan kepada kami secara ijazah.
  3. Istilah ulama muta’akhkhirin: Lafaz (menyampaikan kepada kami) dan ini dipilih oleh pengarah kitab al-Wijazah.

Al-Munawalah

Bahagian-bahagiannya

Munawalah dengan ijazah. Ini merupakan bentuk ijazah yang paling tinggi secara mutlak. Gambarannya ialah guru menyerahkan kepada pelajar akan kitabnya dan berkata kepadanya: Ini adalah riwayat saya daripada si fulan maka riwayatkanlah daripada saya kemudian beliau memberi milik kepada pelajar itu atau meminjamkannya untuk penyalinan.

  1. Munawalah tanpa ijazah. Gambarannya ialah guru menyerahkan kitabnya kepada pelajar dengan hanya mengucapkan ini adalah riwayat yang saya dengar.

Hukum

  1. Harus meriwayatkan dengan cara munawalah berijazah dan ini merupakan peringkat periwayatan yang lebih rendah daripada sama’ dan qira’ah ala al-Shaykh.
  2. Tidak harus meriwayatkan secara munawalah tanpa ada ijazah. Ini adalah pendapat yang sahih. 

Lafaz-lafaz penyampaian

  1. Yang lebih baik ialah perawi berkata si fulan telah menghulurkan kepada saya atau menghulurkan dan memberi ijazah kepada saya. Ini sekiranya munawalah itu secara ijazah.
  2. Diharuskan dengan lafaz sama’ dan qira’ah yang disebutkan munawalah) atau (memberitahu kepada kami secara munawalah) atau (memberitahu kepada kami secara munawalah dan ijazah)

Al-Kitabah (Penulisan)

Shaykh menulis sendiri hadis-hadis yang didengarinya kepada hadirin atau orang tidak hadir dengan tulisannya sendri atau menyruh orang lain menulis.

Bahagian-bahagian

Kitabah terbahagi kepada dua:

  1. Disertakan dengan ijazah seperti (saya memberi ijazah kepada anda apa yang saya tulis untuk atau kepada anda) dan sebagainya.
  2. Tanpa disertakan dengan ijazah seperti seperti ditulis untuk si fulan beberapa hadis dan dikirimkan kepadanya tanpa disertakan ijazah.

Hukum

  1. Kitabah dengan ijazah: periwayatannya adalah sah dan ia sama kuat dengan munawalah berserta dengan ijazah.
  2. Kitabah tanpa ijazah: Sekumpulan ulama menegahnya sementara yang lain mengharuskannya. Pendapat yang sahih di sisi ulama hadis ialah harus dengan cara ini kerana ia menunjukkan kepada makna ijazah.

Adakah Disyaratkan Bukti Kepada Kesahihan Tulisan?

  1. Sebahagian ulama mensyaratkan bukti kepada tulisan dengan mendakwa satu tulisan menyerupai tulisan yang lain. Ini adalah pendapat yang lemah.
  2. Sebahagian pula mengatakan memadai bagi orang yang menerima tulisan seseorang berbeza dengan tulisan orang lain. Inilah pendapat yang sahih.

Lafaz-Lafaz Periwayatan

  1. Dengan menjelaskan sebutan kitabah, seperti kata-kata: “Si fulan telah menulis kepada saya”.
  2. Menyebutkan lafaz sama’ dan qira’ah dengan disertakan lafaz kitabah, seperti (si fulan menceritakan atau memberitahu saya kepada secara penulisan).

Al-I’iam (Pemberitahuan)

Bentuknya: Seorang sheikh memberitahu kepada pelajar bahawa hadis ini atau kitab ini adalah riwayat yang didengarnya.

Hukum Periwayatan

Ulama berbeza pendapat tentang metode ini:

  1. Harus: ini pendapat kebanyakan ulama hadis, fuqaha’ dan ulama usul.
  2. Tidak harus: Ini pendapat ramai dari kalangan ulama hadis dan lain-lain. Inilah yang sahih kerana sheikh memberitahu bahawa hadis itu adalah apa yang diriwayatkannya tetapi tidak harus meriwayatkannya kerana terdapat kecacatan padanya. Namun, sekiranya sheikh memberi ijazah untuk meriwayatkannya maka hukumnya harus.

Lafaz Penyampaian

Perawi berkata (guru saya telah memberitahu kepada saya).

Wasiat

Seorang sheikh mewasiatkan salah satu kitab yang diriwayatkannya pada saat kematiannya atau pengembaraannya kepada seseorang.

Hukum Periwayatan Dengan Cara Wasiat

  1. Harus: Ini pendapat sebahagian salaf, bagaimanapun ini tidak tepat kerana sheikh itu mewasiatkan kitab bukan mewasiatkan supaya meriwayatkannya.
  2. Tidak harus, Inilah yang betul.

Lafaz-lafaz Penyampaian

Sheikh berkata “Si fulan mewasiatkan kepada saya dengan sekian sekian atau si fulan telah menceritakan kepada saya secara wasiat.

Al-Wijadah

Wijadah dengan “waw” berbaris bawah, kata dasar kepada wajada. Masdar ini merupakan binaan baru yang tidak pernah digunakan oleh orang-orang `Arab.

Bentuknya:

Pelajar mendapati beberapa hadis dengan tulisan sheikh yang meriwayatkan hadis-hadis tersebut dan dia mengenali sheikh itu. Tetapi pelajar itu tidak mendengar hadis daripada sheikh dan tidak juga mendapat ijazah.

Hukum Periwayatan

Periwayatan secara wijadah adalah termasuk dalam hadis munqati’ tetapi dari satu segi ia adalah secara bersambung-sambung.

Lafaz-lafaz Penyampaian

Orang yang menemui hadis itu berkata (saya mendapati tulisan si fulan atau saya membaca tulisan si fulan), kemudian dia menyebutkan sanad dan matan.

 

Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

Sesi 40 – Mengenali Perawi Thiqah Yang Mengalami Ikhtilat

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 29- Feb-16     MENGENALI PERAWI THIQAH YANG MENGALAMI …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>