Breaking News
Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Mustholah Hadis / Sesi 27 – Hukum Periwayatan, Kitab Jar’h Wa Ta’dil
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sesi 27 – Hukum Periwayatan, Kitab Jar’h Wa Ta’dil

Download PDF
Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 29- Nov-15

 

 

Hukum Periwayatan Daripada Perawi Yang Mengambil Upah Mengajarkan Hadis

  1. Setengah ulama tidak menerima periwayatan perawi yang mengambil upah kerana mengajarkan hadis. Antara mereka ialah, Imam Ahmad, Ishaq dan Abu Hatim.
  2. Setengah ulama yang lain menerima seperti Abu Nu’aym Fadal bin Dukayn.
  3. Abu Ishaq al-Shirazi memfatwakan harus mengambil upah bagi perawi yang tidak mampu menyara keluarganya kerana sibuk mengajarkan ilmu hadis.

 

Hukum Periwayatan Perawi Yang Dikenali Sebagai Bermudah Atas Menerima “Talqiin” Atau Banyak Lupa

  1. Tidak diterima periwayatan perawi yang dikenali sebagai bermudah atau longgar dalam menerima dan menyampaikan hadis seperti orang yang tidur ketika mendengar hadis atau menyampaikan hadis berdasarkan kepada nuskhah yang tidak dibandingkan dengan nuskhah yang diakui.
  2. Tidak diterima periwayatan perawi yang dikenali menerima talqiin dalam hadis seperti ia dibacakan sesuatu hadis kemudian ia menyampaikannya tanpa mengetahui itu termasuk dalam hadisnya sendiri.
  3. Tidak diterima periwayatan perawi yang dikenali dengan banyak lupa.

Hukum Periwayatan Perawi Yang Menyampaikan Hadis Kemudian Dia Terlupa

Definisi perawi yang menyampaikan hadis dan ia lupa ialah seorang syeikh yang tidak mengingati riwayat hadis yang disampaikan oleh muridnya daripadanya.

Hukum Periwayatan

  1. Ditolak, jika beliau menafikannya dengan tegas dengan mengatakan saya tidak pernah meriwayatkannya atau dia berdusta atas nama saya dan sebagainya.
  2. Diterima, jika beliau teragak-agak dalam menafikannya seperti ia mengatakan saya tidak tahu atau saya tidak ingat dan sebagainya.

 

Adakah Penolakan Terhadap Sebuah Hadis Itu Bermakna Salah Seorang Daripada Mereka Berdua (Syeikh Dan Muridnya) Telah Ditajrihkan?

Tidak boleh dianggap penolakan hadis itu sebagai mencacatkan keadilan salah seorang daripada mereka berdua, kerana masing-masing tidak boleh mentajrihkan satu sama lain.

Contoh

Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Dawud, al-Tirmidhi dan Ibn Majah melalui Rabi’ah bin Abi Abdul Rahman daripada Suhayl bin Abi Salih daripada bapanya daripada Abu Hurayrah bahawa:

“Rasulullah s.a.w. telah memutuskan kes berdasarkan sumpah berserta saksi”.

`Abdul `Aziz bin Muhammad al-Darawardi berkata: “Rabiah bin Abi `Abdul Rahman telah menceritakan kepada saya hadis ini daripada Suhayl.  Kemudian saya menemui Suhayl dan bertanya kepadanya tentangnya dan beliau tidak mengetahuinya. Lalu saya mengatakan (kepadanya), Rabi’ah telah meriwayatkan hadis ini daripada anda.” Selepas itu, Suhayl mengatakan `Abdul `Aziz telah menceritakan kepada saya Rabi’ah daripada saya bahawa saya meriwayatkan hadis ini kepadanya daripada Abu Hurayrah.

Kitab-kitab yang paling masyhur:

“Kitab Akhbar Man Haddatha Wa Nasiya” oleh al-Khatib.

 

FASAL KEDUA

Gambaran Umum Tentang Kitab-Kitab Al-Jarh Wa Al-Ta’dil

Oleh kerana penilaian tentang kesahihan dan kedhaifan hadis berdasarkan kepada keadilan perawi dan ketepatannya atau kecaman terhadap kedua-duanya, para ulama telah menyusun kitab-kitab yang menjelaskan keadilan para perawi dan ketepatan mereka. Penulisan mereka itu berdasarkan kepada nukilan daripada imam-imam yang dipercayai dalam ilmu mengkreditkan para perawi. Ini dinamakan sebagai ta’dil sebagaimana dalam kitab-kitab tersebut terhadap kecaman terhadap keadilan sesetengah perawi atau terhadap ketepatan dan keadilan mereka yang dinukilkan daripada para imam yang tidak taksub. Ini dinamakan dengan “al-Jarh”. Dari sinilah, kitab-kitab tersebut dinamakan kitab-kitab “al-Jarh Wa al-Ta’dil”.

Kitab-kitab ini sangat banyak dengan pelbagai metode, antaranya dikhususkan untuk menjelaskan perawi-perawi yang dhaif dan ditarjihkan. Ada kitab tentang perawi-perawi thiqah dan dhaif. Dari aspek lain, sebahagian kitab ini meliputi semua perawi hadis tanpa melihat kepada perawi-perawi kitab hadis tertentu dan ada juga khusus dengan perawi-perawi sebuah kitab sahaja atau beberapa buah kitab hadis yang tertentu.

Usaha-usaha penyusunan biografi-biografi perawi yang dilakukan oleh ulama al-Jarh Wa al-Ta’dil ini diakui sebagai usaha yang unik kerana mereka menyentuh secara teliti kesemua biografi para perawi hadis dan menjelaskan kedudukan al Jarh Wa al-Ta’dil yang ditujukan kepada mereka. Kemudian disebutkan guru-guru yang menjadi sumber ambilan bagi perawi itu kemudian siapa pula yang mengambil hadis daripadanya. Ke mana mereka pernah mengembara dan bilakah mereka bertemu guru-guru hadis. Di samping itu, dinyatakan juga zaman hidup mereka dengan cara yang tidak pernah didahului oleh orang lain bahkan bangsa-bangsa bertamaddun di zaman moden ini tidak dapat menjangkaui walaupun sedikit biografi-biografi perawi hadis. Mereka mengingati dengan lengkap pengenalan tentang perawi-perawi hadis sepanjang hayat mereka. Semoga Allah s.w.t memberikan balasan yang baik buat mereka. Berikut beberapa nama kitab-kitab rijal:

  1. “Al-Tarikh al-Kabir” oleh Imam al-Bukhari. Kitab ini umum meliputi perawi-perawi thiqah dan da’if.
  2. “Al-Jarh Wa al-Ta’dil” oleh Ibn Abi Hatim. Ini juga merangkumi perawi-perawi thiqah dan dhaif.
  3. “Al-Thiqat” oleh Ibn Hibban. Kitab ini khusus tentang perawi thiqah sahaja.
  4. “Al-Kamil fi al-Du’afa” oleh Ibn Adi. Jelas dari namanya, kitab ini khusus tentang perawi-perawi dha’if.
  5. “Al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal” oleh `Abd al-Ghani al-Maqdasi. Sebuah kitab yang umum, bagaimanapun ia khusus dengan perawi-perawi kitab Sunan Sittah.
  6. “Mizan al-I’tidal” oleh al-Dhahabi. Sebuah kitab yang khusus tentang perawi-perawi dhaif dan matruk iaitu setiap orang perawi yang ditajrihkan walaupun pentajrihan itu tidak diterima.
  7. “Tahdhib al-Tahdhib” oleh Ibn Hajar. Kitab ini dianggap sebagai salah sebuah ringkasan dan saringan kitab “al-Kamal Fi Asma’ al-Rijal”.

 

Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

Sesi 40 – Mengenali Perawi Thiqah Yang Mengalami Ikhtilat

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 29- Feb-16     MENGENALI PERAWI THIQAH YANG MENGALAMI …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>