Breaking News
Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Mustholah Hadis / Sesi 25 – Al-Musnad, Al-Muttasil, Ziyadat Al-Thiqat
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sesi 25 – Al-Musnad, Al-Muttasil, Ziyadat Al-Thiqat

Download PDF
Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 15- Nov-15

 

PERBAHASAN KEDUA

BAHAGIAN KHABAR YANG MEMPUNYAI SIFAT MAQBUL DAN MARDUD.

AL-MUSNAD

Definisi:

Dari sudut bahasa, al-Musnad adalah kata nama objek bagi “asnada” iaitu menyandarkan atau menisbahkan.

Dari segi istilah pula, hadis yang bersambung sanadnya secara marfu’ kepada Rasulullah s.a.w.

Contoh:
Hadis yang dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari katanya:

“Abdullah bin Yusuf menceritakan kepada kami daripada Malik daripada Abu al-Zinad daripada al-A’raj daripada Abu Hurairah katanya: “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: “Apabila anjing minum dalam bekas salah seorang kamu maka hendaklah dia membasuhnya sebanyak tujuh kali”.

Hadis ini bersambung sanadnya daripada awal sampai ke penghujungnya dan ia marfu’ kepada Rasulullah s.a.w.

 

AL-MUTTASIL

Definisi

Dari sudut bahasa, al-muttasil adalah kata nama pelaku bagi “ittasala” iaitu bersambung lawan kepada “inqata’a” iaitu terputus.Bahagian ini juga dinamakan dengan al-Mawsul.

Dari segi istilah pula, hadis yang bersambung sanadnya secara marfu’ kepada Rasulullah s.a.w atau secara mawquf.

Contoh

Contoh al-Muttasil al-marfu’:
Malik daripada Ibn Shihab daripada Salim bin `Abdillah daripada bapanya daripada Rasulullah s.a.w. bahawa baginda bersabda”…….

Contoh al-Muttasil al-Mawquf:
Malik daripada Nafi’ daripada Ibn `Umar bahawa beliau berkata:”…….

Adakah Kata-Kata Tabi’i Dianggap Sebagai Al-Muttasil?

Al-`Iraqi berkata: “Berkenaan dengan kata-kata tabi’in apabila bersambung-sambung sanadnya kepada mereka maka ia tidak dinamakan al-Muttasil secara mutlak. Tetapi dalam keadaan dikaitkan (dengan mereka) maka boleh dinamakan demikian dan ada dalam penggunaan ulama hadis, seperti kata mereka: “Ini muttasil kepada Sa’id bin al-Musayyab atau kepada al-Zuhri atau kepada Malik dan lain-lain. Ada dikatakan ia dinamakan sebagai maqaati’. Menamakannya dengan al-muttasil seperti menyifatkan dua perkara yang bertentangan pada bahasa dengan satu sifat.”

 

ZIYADAT AL-THIQAT

Maksud Ziyadat al-Thiqat

“Al-Ziyadat” maksudnya penambahan-penambahan dan maksud “thiqat” itu ialah perawi-perawi thiqah, yang adil dan tepat. Yang dimaksudkan dengan penambahan perawi-perawi thiqah ialah lafaz-lafaz yang kita dapati pada riwayat sesetengah perawi thiqah melebihi daripada yang diriwayatkan oleh perawi-perawi thiqah yang lain.

Ulama Yang Terkenal Dengan Perhatian Kepada Perkara Ini

Penambahan-penambahan oleh sesetengah perawi thiqah dalam sebahagian hadis-hadis telah menarik perhatian ulama lalu mereka memeriksa, mengumpulkan dan mengkajinya. Antara mereka ialah:

  1. Abu Bakr `Abdullah bin Muhammad bin Ziyad al-Naysaburi
  2. Abu Nu’aym al-Jurjani
  3. Abu Al-Walid Hassan bin Muhammad al-Qurashi

Tempat Berlaku Pertambahan

  1. Pada matan dengan penambahan perkataan atau ayat.
  2. Pada sanad dengan memarfu’kan yang mawquf atau memawsulkan yang mursal.

Hukum Penambahan Pada Matan

Ulama berbeza pendapat tentang hukumnya. Ada ulama yang menerima secara mutlak dan ada yang menolaknya secara mutlak. Sementara itu, ada ulama yang menolak penambahan yang dilakukan oleh perawi yang meriwayatkannya sebelum itu tanpa penambahan (kemudian meriwayatkan pula dengan penambahan) tetapi menerima penambahan yang dilakukan oleh perawi lain

Ibn al-Salah telah membahagikan penambahan berdasarkan kepada penerimaan dan penolakan kepada tiga bahagian. Pembahagian ini sangat baik dan persetujui oleh al-Nawawi dan ulama lain.

  1. Penambahan yang tidak ada pertentangan dengan perawi-perawi thiqah atau lebih thiqah. Hukum penambahan ini ialah maqbul kerana ia seperti hadis yang keseluruhannya diriwayatkan oleh salah seorang perawi thiqah secara berseorangan.
  1. Penambahan yang bertentangan dengan riwayat perawi-perawi thiqah atau lebih thiqah. Hukumnya mardud sebagaimana yang dibincangkan dalam bab al-Shadh.
  1. Penambahan yang mempunyai bentuk pertentangan dengan riwayat perawi-perawi thiqah atau lebih thiqah. Pertentangan tersebut melibatkan mengikat yang mutlak atau mengkhususkan yang umum. Bahagian ini tidak dihukumkan oleh Ibn al-Salah tetapi al-Nawawi memutuskan dengan mengatakan: “Menurut pendapat yang sahih, yang trakhir ini adalah maqbul”.

Contoh Penambahan Pada Matan

Contoh Penambahan Yang Tidak Ada Pertentangan

Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim melalui jalan `Ali bin Mushir daripada al-A’mash daripada Abu Razin daripada Abu Salih daripada Abu Hurairah dengan penambahan lafaz (maka hendaklah dia mencurahkannya) dalam hadis tentang jilatan anjing. Sedangkan perawi-perawi yang lain meriwayatkan:

“Apabila anjing menjilat pada bekas salah seorang daripada kamu maka hendaklah dia membasuhnya sebanyak tujuh kali” Penambahan ini menjadi seperti sebuah hadis yang Ali bin Mushir berseorangan meriwayatkannya dan beliau seorang yang thiqah maka penambahan itu diterima.

Contoh Penambahan Yang Mempunyai Pertentangan

Penambahan “Hari ‘Arafah”, dalam hadis:

“Hari `Arafah, hari penyembelihan dan hari Tashriiq adalah hari raya kita orang-orang Islam. Ia adalah hari-hari makan dan minum (tidak berpuasa padanya)”

Hadis ini pada keseluruhan jalannya tidak mempunyai penambahan tersebut. Sebenarnya itu terdapat dalam jalan yang dikemukakan oleh Musa bin `Ali bin Rabah daripada bapanya daripada `Uqbah bin Amir. Hadis itu diriwayatkan oleh Abu Dawud (no: 2419), al-Tirmidhi (No. 770), dan lain-lain.

Contoh Penambahan Yang Mempunyai Bentuk Kelainan

Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim melalui jalan Abu Malik al-Ashja’i daripada Rib’i daripada Hudhayfah katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“dan bumi semuanya dijadikan untuk kita sebagai masjid dan tanahnya sebagai alat bersuci

Abu Malik al-Ashja’i telah berseorangan meriwayatkan dengan tambahan “dan tanahnya” dan tidak disebutkan oleh perawi-perawi lain. Mereka hanya meriwayatkan begini:

“dan bumi semuanya dijadikan untuk kita sebagai masjid dan alat bersuci.

Hukum Penambahan Pada Sanad

Berkenaan dengan penambahan pada sanad, ia lebih tertumpu pada dua masalah yang sering berlaku iaitu pertentangan antara mewawsulkan dengan memursalkan dan pertentangan antara memarfu’kan dengan mewawqufkan. Sementara bentuk penambahan lain dalam sanad, ulama telah membincangkan secara khusus dalam bab-babnya seperti al-Mazid Fi Muttasil al-Asaanid.

Dalam persoalan penambahan pada sanad, ulama berbeza pendapat sehingga kepada empat pendapat.

  1. Diterima penambahan yang memawsulkan dan memarfu’kan. Ini adalah pendapat majoriti ulama fiqh dan usul.
  2. Tidak diterima penambahan yang memawsulkan dan memarfu’kan.

Ini adalah pendapat kebanyakan ahli hadis.

  1. Keputusan bergantung kepada yang paling banyak. Ini pendapat sebahagian ahli hadis.
  2. Keputusan bergantung kepada yang paling kuat hafalan. Ini pendapat sebahagian ahli hadis.

Contohnya:

Hadis:

“tidak ada pernikahan tanpa wali”.

Hadis ini telah diriwayatkan oleh Yunus bin Abi Ishaq al-Sabi’i, anaknya Israil dan Qaays bin al-Rabi’ daripada Abu Ishaq secara muttasil sementara Sufyan al-Thawri dan Shu’bah bin al-Hajjaj telah meriwayatkannya daripada Abu Ishaq secara mursal.

Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

Sesi 40 – Mengenali Perawi Thiqah Yang Mengalami Ikhtilat

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 29- Feb-16     MENGENALI PERAWI THIQAH YANG MENGALAMI …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>