Breaking News
Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Mustholah Hadis / Sesi 26 – Al-I’tibar. Al-Mutabi’ Dan Al-Shahid
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sesi 26 – Al-I’tibar. Al-Mutabi’ Dan Al-Shahid

Download PDF
Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 15- Nov-15

 


AL-I’TIBAR, AL-MUTABI’ DAN AL-SHAHID

Definisi Al-I’tibar

Dari sudut bahasa, “al-i’tibar” adalah kata dasar bagi “i’tabara” yang bermaksud memerhatikan beberapa perkara untuk mengetahui dengannya perkara lain yang sama jenis dengannya.

Dari segi istilah pula, memeriksa jalan-jalan hadis yang diriwayatkan oleh perawi secara berseorangan untuk mengetahui adakah ada perawi lain yang juga meriwayatkannya atau tidak.

Al-Mutabi’

Dari sudut bahasa, “al-Mutabi’ “ adalah kata nama pelaku bagi “taba’a” iaitu turut sama.

Dari segi istilah pula, ianya bermaksud hadis yang perawi-perawinya turut meriwayatkannya dengan hadis tunggal yang diriwayatkan oleh perawi-perawi lain dari sudut lafaz  dan makna atau pada makna sahaja dengan syarat sama pada sahabat.

Al-Shahid

Dari sudut bahasa, “al-Shahid” adalah kata nama pelaku bagi “al-shahadah” iaitu menyaksikan.  Dinamakan demikian kerana ia menyaksikan bahawa hadis tunggal itu mempunyai asal yang menguatkannya sebagaimana saksi menguatkan kata-kata pendakwa dan menyokongnya.  Dari segi istilah pula, hadis yang perawi-perawinya sama meriwayatkannya dengan hadis tunggal yang diriwayatkan oleh perawi-perawi lain dari sudut lafaz dan makna atau pada makna sahaja dengan syarat berbeza pada sahabat. 

Al-I’tibar Bukan Sebahagian Daripada Kategori Al-Mutabi’ Dan Al-Shahid

Boleh jadi ada orang yang keliru lalu menyangka al-I’tibar itu termasuk dalam kategori yang sama dengan al-Mutabi’ dan al-shahid.  Sebenarnya bukan begitu kerana al-I’tibar itu adalah keadaan untuk sampai kepada kedua-duanya.  Dengan kata lain, ia adalah metode untuk mengkaji dan memeriksa hadis-hadis yang boleh menjadi al-Mutabi’ dan al-Shahid.

Istilah Lain Bagi Al-Mutabi’ Dan Al-Shahid

Definisi yang kita kemukakan di atas adalah yang dipegang dan diterima pakai oleh kebanyakan ulama hadis dan itu adalah yang masyhur.  Bagaimanapun ada ta’rif yang lain bagi kedua-dua istilah itu:

Al-Tabi’

Perawi-perawi itu sama-sama meriwayatkan hadis yang tunggal itu dengan lafaz yang sama, sama ada berbeza sahabat ataupun tidak.

Perawi-perawi itu bersama-sama meriwayatkan hadis tunggal dengan lafaz yang sama, sama ada berlainan sahabat atau tidak.

Bagaimanapun, setiap daripada kedua-dua istilah ini juga digunakan untuk memberi pengertian kepada istilah yang satu lagi.  Istilah al-Tabi’ ada juga digunakan dengan makna al-Shahid sementara istilah al-Shahid digunakan untuk menunjukkan makna al-Tabi’.  Perkara ini tidak menjadi persoalan kerana mengikut Hafiz Ibn Hajar, tujuan kedua istilah itu untuk menguatkan hadis itu dengan mencari riwayat lain yang sama dengannya.

 

Al-Mutaaba’ah

Definisi

Dari sudut bahasa, kata dasar bagi “taba’a” dengan makna “wafaqa” iaitu sama dengan itu al-Mutaba’ah itu adalah al-Muwafaqah.

Dari sudut istilah:  Perawi itu bersamaan dengan orang lain dalam periwayatan hadis.

Bahagian-bahagian al-Mutaba’ah

  1. Al-Mutaba’ah al-Tammah: Iaitu berlaku persamaan bagi perawi dari awal sanad.
  2. Al-Mutaba’ah al-Qasirah: Iaitu berlaku persamaan bagi perawi di pertengahan sanad.

Contoh:

Penulis akan menyebutkan satu contoh yang dikemukakan oleh Hafiz Ibn Hajar  yang merangkumi al-Mutaba’ah al-Tammah, al-Mutaba’ah al-Qasirah dan al-Shahid.

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Shafi’i dalam Kitab al-Umm daripada Malik daripada `Abdullah  bin Dinar daripada Ibn `Umar bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

“Bulan itu dua puluh sembilan hari, janganlah kamu berpuasa sehinggalah kamu melihat anak bulan, jangan kamu berbuka selagi kamu tidak melhatnya, jika berlaku mendung maka kamu sempurnakan bilangan tiga puluh hari.”

Hadis ini dengan lafaz ini telah dianggap oleh satu kumpulan bahawa al-Shafi’i berseorangan meriwayatkan daripada Imam Malik, lalu mereka memasukkan dalam senarai hadis-hadis gharib Malik kerana murid-murid Malik meriwayatkan daripadanya dengan sanad ini dengan lafaz:

“Jika berlaku mendung maka hitungkan untuknya”

Tetapi setelah dilakukan i’tibar kita dapati Imam al-Shafi’i mempunyai Mutaba’ah Tammah, Mutab’ah Qasirah dan Shahid.

 

Al-Mutaba’ah al-Tammah

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada `Abdullah bin Maslamah al-Qa’nabi daripada Malik dengan sanad yang sama. Dalam hadis itu terdapat:

“Jika berlaku mendung maka kamu sempurnakan bilangan tiga puluh hari”

Al-Mutaba’ah al-Qasirah

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaymah daripada jalan Asim bin Muhammad daripada bapanya Muhammad bin Zayd daripada datuknya `Abdullah bin `Umar dengan lafaz

“Sempurnakan tiga puluh”

Al-Shahid

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Nasa’i melalui riwayat Muhammad bin Hunayn daripada `Abbas daripada Rasulullah s.a.w dalam hadis itu disebutkan:

“Jika hari mendung maka sempurnakan bilangan tiga puluh hari”

 

SIFAT-SIFAT ORANG YANG DITERIMA PERIWAYATANNYA DAN PERBINCANGAN TENTANG AL-JARH WA AL-TA’DIL

FASAL PERTAMA : PERAWI DAN SYARAT-SYARAT PENERIMAANNYA

Pendahuluan

Oleh kerana hadis-hadis Rasulullah s.a.w hanya sampai kepada kita melalui para perawi dan merekalah paksi utama untuk mengetahui kesahihan dan kepalsuan hadis, maka ulama hadis telah memberi perhatian khusus terhadap para perawi dan meletakkan beberapa syarat yang teliti lagi kemas sekaligus membuktikan kedalaman pemerhatian, kemantapan pemikiran dan keunggulan metodologi mereka.

Syarat-syarat yang diletakkan oleh ulama hadis pada perawi serta syarat-syarat lain bagi penerimaan hadis dan riwayat tidak pernah dicapai oleh mana-mana agama sekalipun pada zaman moden ini walaupun ahli-ahlinya mendakwa bahawa mereka memiliki metodologi dan ketelitian. Mereka tidak meletakkan syarat pada pelapor berita seperti syarat yang dimestikan oleh ulama hadis pada perawi meskipun syarat yang lebih rendah daripada itu. Kebanyakan berita-berita yang dilaporkan oleh agensi-agensi berita rasmi tidak dapat dipercayai dan diyakini. Ini kerana para pelapornya tidak dikenali. Bukankah kebinasaan cerita-cerita itu kerana pelapor-pelapornya? Selang beberapa waktu sahaja ternyata kebanyakan berita itu adalah palsu.

Syarat-Syarat Penerimaan Perawi Majoriti ulama hadis dan fiqh telah sepakat bahawa dua syarat asas mesti ada pada seorang perawi, iaitu:

  1. Keadilan iaitu perawi itu mestilah seorang muslim, baligh, waras, tidak mempunyai faktor-faktor kefasikan dan perkara-perkara yang mencacatkan maruah.
  1. Ketepatan iaitu tidak bercanggah dengan perawi-perawi thiqah, tidak lemah ingatan, tidak ada kesilapan yang jelek, tidak lalai dan tidak banyak kekeliruan.

 

Bagaimana Keadilan Terbukti

Keadilan dibuktikan dengan salah satu daripada perkara berikut:

  1. Penjelasan oleh ulama “Al-Jarj Wa Al-Ta’dil” tentang keadilannya atau salah seorang daripada mereka.
  2. Dengan sebab terkenal dan masyhur. Sesiapa yang terkenal dengan keadilannya di kalangan ahli ilmu, memadai tersebar pujian terhadapnya dan tidak perlu lagi kepada penjelasan daripada ulama “Al-Jarh Wa Al-Ta’dil”. Mereka itu termasuklah para imam seperti imam mazhab yang empat, Abu Hanifah, Malik, al-Shafi’i dan Ahmad bin Hanbal, Sufyan Ibn `Uyaynah, Sufyan al-Thwri, al-Awza’i dan lain-lain.

Mazhab Ibn `Abd Al-Barr Tentang Pembuktian Keadilan

Ibn `Abd al-Barr berpendapat bahawa setiap pembawa ilmu yang terkenal dengan memberi perhatian terhadap ilmu dianggap sebagai adil sehinggalah terbukti tajrih kepada. Beliau berhujah dengan hadis:

“Ilmu ini dibawa pada setiap generasi oleh orang-orang yang adil yang menghindarkan daripadanya penyelewengan orang-orang yang melampau, pemalsuan golongan sesat dan takwilan golongan jahil”.

Bagaimanapun pendapat beliau ini tidak dipersetujui oleh para ulama kerana status hadis ini tidak sahih. Jika diandaikan sahih maka maknanya hendaklah ditafsirkan sebagai perintah iaitu hendaklah pada setiap generasi orang-orang yang adil membawa ilmu ini. Pentafsiran ini berdasarkan ada juga perawi yang tidak adil membawa ilmu ini.

 

Bagaimana Mengetahui Ketepatan Perawi

Ketepatan perawi dapat diketahui berdasarkan kepada kesamaan riwayatnya dengan perawi-perawi thiqah yang tekun dalam periwayatan hadis. Jika pada kebanyakan keadaan beliau menyamai mereka dalam periwayatan maka dia dianggap sebagai seorang yang “dhaabit” (seorang yang tepat dan kuat ingatan); tidak mengapa jika jarang-jarang terdapat perbezaan dengan riwayat perawi-perawi lain. Sebaliknya jika berlaku banyak percanggahan maka cacatlah ketepatannya dan dia tidak boleh dijadikan hujah.

 

Adakah Tajrih Dan Ta’dil Diterima Dengan Tanpa Alasan?

Mengikut pendapat yang masyhur dan sahih, ta’dil diterima tanpa disebutkan sebabnya kerana ianya terlalu banyak dan sukar untuk dihitung kerana ulama yang menta’dilkan perawi terpaksa menyebutkan: “Dia tidak melakukan ini, tidak melakukan itu….atau dia buat ini, dia buat itu…dan sebagainya.

Tetapi tajrih tidak diterima kecuali dengan menjelaskan sebab kerana sebabnya tidak sukar untuk dinyatakan dan masyarakat berbeza pendapat tentang sebab-sebab tajrih. Kadang-kadang ulama mentajrihkan perawi tanpa tajrih yang wajar. Ibn al-Salah berkata: “Inilah yang jelas diakui dalam ilmu fiqh dan usul. Al-Khatib al-Baghdadi menyebutkan itu adalah mazhab imam yang hafiz hadis dan pengkritik hadis seperti al-Bukhari, Muslim dan lain-lain. Oleh kerana itu, al-Bukhari berhujjah dengan sekumpulan perawi yang ditajrihkan oleh orang lain seperti `Ikrimah, `Amar bin Marzuq. Muslim pula berhujah dengan Suwayd bin Sa’id dan sekumpulan perawi yang dipertikai oleh orang lain. Begitu juga dengan Abu Dawud. Ini menunjukan bahawa mereka berpendapat bahawa tajrih tidak terbukti kecuali dengan diterangkan sebabnya.

 

Adakah Tajrih dan Ta’dil Terbukti Dengan Seorang Sahaja?

  1. Menurut pendapat yang sahih, ta’dil dan tajrih boleh sabit dengan seorang imam.
  2. Ada pendapat mengatakan perlu kepada dua orang imam.

 

Tajrih Dan Ta’dil Serentak Pada Perawi Yang Sama

Apabila berkumpul pada seorang perawi Tajrih dan ta’dil maka:

  1. Menurut pendapat yang muktamad tajrih diutamakan jika tajrih mufassar (dinyatakan sebab).
  1. Dikatakan jika bilangan ulama yang menta’dilkan itu ramai maka ta’dil didahulukan. Tetapi pendapat ini dhaif dan tidak dipegang.

 

Hukum Periwayatan Perawi Adil Daripada Seseorang Individu

Periwayatan seorang perawi adil daripada seseorang tidak boleh dianggap sebagai ta’dil. Ini merupakan pendapat sebilangan besar ahli hadis dan inilah pandangan yang sahih. Ada juga yang mengatakan itu merupakan ta’dil untuk perawi tersebut.

Amalan dan fatwa seorang alim mengikut sesebuah hadis bukanlah merupakan keputusan kepada kesahihannya. Demikian juga percanggahannya dengan hadis itu bukan merupakan kritikannya terhadap kesahihan hadis tersebut dan tidak juga terhadap perawi-perawinya. Ada dikatakan, itu adalah keputusannya tentang kesahihan hadis itu. Pendapat ini telah diakui sahih oleh al-Amidi dan ulama lain dari kalangan ahli usul. Dalam masalah ini ada perbahasan yang panjang dan terperinci.

 

Hukum Periwayatan Perawi Yang Bertaubat Daripada Kefasikannya

  1. Diterima periwayatan perawi yang bertaubat daripada melakukan kefasikan.
  2. Tidak diterima periwyatan daripada perawi yang bertaubat daripada mereka-reka hadis atas nama Rasulullah s.a.w.

 

Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

Sesi 40 – Mengenali Perawi Thiqah Yang Mengalami Ikhtilat

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 29- Feb-16     MENGENALI PERAWI THIQAH YANG MENGALAMI …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>