Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Mustholah Hadis / Sesi 24 – Khabar Yang Bersifat Maqbul Dan Mardud, Hadis Qudsi, Al-Marfu’, Al-Mawquf, Al-Maqtu’
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sesi 24 – Khabar Yang Bersifat Maqbul Dan Mardud, Hadis Qudsi, Al-Marfu’, Al-Mawquf, Al-Maqtu’

Download PDF
Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 08- Nov-15

 

 

FASAL KETIGA: KHABAR YANG BERSIFAT MAQBUL DAN MARDUD

Perbahasan Pertama: Pembahagian Khabar Merujuk kepada Sandarannya.

Berdasarkan kepada orang yang disandarkan kepadanya hadis, khabar terbahagi kepada empat bahagian iaitu hadis Qudsi, Marfu’, Mawquf dan Maqtu’. Di sini dikemukakan satu persatu huraian secara terperinci.

HADIS QUDSI

Definisi

Dari sudut bahasa al-Qudsi adalah nisbah kepada al-Quds iaitu kesucian sebagaimana yang disebutkan di dalam al-Qamus al-Muhit. Ya’ni hadis yang dinisbahkan kepada Allah s.w.t, Zat Yang Suci.

Dari segi istilah pula, hadis yang sampai kepada kita daripada Rasulullah s.a.w dengan menyandarkannya kepada Allah s.w.t.

Perbezaan Antara Hadis Qudsi Dengan Al-Quran

Terdapat banyak perbezaan tetapi yang masyhurnya ialah:

1. Lafaz dan makna Al-Quran daripada Allah s.w.t manakala hadis qudsi maknanya daripada Allah s.w.t sedangkan lafaznya daripada Rasulullah s.a.w.
2. Al-Quran dijadikan ibadat dengan membacanya manakala hadis qudsi tidak dijadikan ibadat dengan membacanya.
3. Al-Quran itu sabit dengan cara “tawatur” sedangkan “tawatur” tidak disyaratkan pada hadis qudsi.

Bilangan Hadis Qudsi

Hadis-hadis qudsi tidaklah banyak jika dinisbahkan kepada hadis nabawi. Bilangannya tidak melebihi 200 hadis.

Contohnya hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya:

“Daripada Abu Dhar daripada Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan dari Tuhannya bahawa Dia berfirman: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman atas diri-Ku. Dan Aku telah jadikannya perkara yang diharamkan sesama kamu, maka janganlah melakukan kezaliman sesama kamu.

Lafaz-lafaz Periwayatannya

Bagi perawi hadis qudsi, dia boleh meriwayatkan dengan mana-mana daripada lafaz ini:

Pertama:
“Rasulullah s.a.w. bersabda sebagaimana yang diriwayatkan daripada Tuhannya:…”

Kedua,
“Allah s.w.t. berfirman sebagaimana yang diriwayatkan daripada-Nya oleh Rasulullah s.a.w.”

Kitab-Kitab Yang Terkenal

“Al-Ithafat al-Saniyyah Bi al-Ahadith al-Qudsiyyah” oleh Abdul Ra’uf al-Munawi. Di dalamnya beliau telah menghimpunkan 272 hadis qudsi.
AL-MARFU’

Definisi Dari sudut bahasa, al-Marfu’ adalah kata nama objek bagi rafa’a iaitu “mengangkat” lawan kepada wada’a iaitu “meletakkan”. Seolah-olah dinamakan demikian kerana nisbahnya kepada pemilik kedudukan yang tinggi iaitu Rasulullah s.a.w.

Dari segi istilah pula, apa yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w dalam bentuk ucapan, perbuatan, pengakuan atau sifat.

Huraian Definisi

Apa yang dinisbahkan atau disandarkan kepada Rasulullah s.a.w samada ucapan baginda, perbuatan, pengakuan atau sifat. Sama ada yang menyandarkan itu sahabat atau orang yang dibawahnya. Sama ada sanadnya bersambung-sambung atau terputus. Oleh itu marfu’ merangkumi mawsul, mursal, muttasil dan munqati’. Inilah yang masyhur tentang hakikatnya. Selain itu, ada beberapa pendapat tentang maksud dan ta’rifnya.

Bahagian-bahagiannya

Daripada ta’rifnya dapat diketahui bahawa marfu’ itu ada empat bahagian.

  1. marfu’ dari sudut ucapan
  2. marfu’ dari sudut perbuatan
  3. marfu’ dari sudut pengakuan
  4. marfu’ dari sudut sifat

Contoh

  1. Contoh marfu; qawli (ucapan): Sahabat berkata atau orang lain: “Rasulullah s.a.w. bersabda……
  2. Contoh marfu’ fi’li (perbuatan): Sahabat berkata atau orang lain: “Rasulullah s.a.w. melakukan.
  3. Contoh marfu’ Taqriri (pengakuan) : sahabat berkata atau orang lain “Ada perkara dilakukan di hadapan Rasulullah s.a.w. dan baginda tidak mengingkarinya”.
  4. Contoh marfu’ Wasfi (sifat): Sahabat berkata atau orang lain: “Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang paling baik akhlaqnya.

 

AL-MAWQUF

Definisi

Dari sudut bahasa, al-Mawquf adalah kata nama objek bagi waqafa iaitu “memberhentikan”. Seolah-olah perawi memberhentikan hadis itu pada sahabat dan tidak terus menyebutkan baki rantaian sanad.

Dari segi istilah pula, apa yang disandarkan kepada sahabat dalam bentuk ucapan, perbuatan atau pengakuan.

Huraian Definisi

Apa yang dinisbahkan atau disandarkan kepada sahabat atau sekumpulan sahabat sama ada ucapan, perbuatan atau pengakuan. Sama ada sanadnya “muttasil” atau “munqati”.

Contoh

  1. Contoh Mawquf Qawli (ucapan): kata-kata perawi, “Ali bin Abi Talib berkata:

Bercakaplah dengan orang ramai mengikut pengetahuan mereka. Adakah anda mahu Allah dan Rasul-Nya didustakan”.

  1. Contoh Mawquf Fi’li (perbuatan): al-Bukhari berkata:

“Ibn Abbas menjadi imam sedangkan beliau bertayyamun.

  1. Contoh Mawquf Taqriri (pengakuan): seperti kata-kata sebahagian tabi’in,

“Kami berbuat demikian di hadapan salah seorang sahabat dan beliau tidak membantahku.”

Penggunaan Lain Bagi Mawquf

Ada juga penggunaan lain bagi istilah mawquf iaitu berita yang datang dari bukan sahabat tetapi dengan “qayd” (dengan ikatan/sifat) seperti hadis ini dimawqufkan oleh si fulan pada al-Zuhri atau `Ata dan sebagainya.

Istilah Fuqaha’ Khurasan

Fuqaha’ Khurasan menamakan “marfu’” sebagai khabar dan “mawquf” sebagai athar. Sementara Ahli hadis menamakan semuanya itu dengan athar kerana diambil daripada “athartu al-shay’” yakni meriwayatkan sesuatu.

Permasalahan Berkaitan Dengan “Marfu’ Hukman”

Ada beberapa bentuk mawquf dari sudut lafaz dan bentuknya tetapi bagi ulama yang menghalusi hakikatnya mengatakan ia sama makna dengan hadis marfu’, Oleh kerana itu, ia dinamakan “marfu’ hukman” iaitu mawquf pada lafaz tetapi marfu’ pada hukumnya.

Bentuk-Bentuk Marfu’ Ini

Pertama: Sahabat yang tidak diketahui pernah mengambil cerita daripada ahli Kitab mengatakan sesuatu yang tidak boleh diijtihadkan, tidak ada hubung kait dengan bahasa atau menjelaskan lafaz gharib seperti:

  1. Perkhabaran berita-berita lalu seperti permulaan kejadian.
  2. Perkhabaran tentang perkara-perkara akan datang seperti malahim (peristiwa-peristiwa besar), fitan (fitnah-fitnah akhir zaman) dan keadaan hari kiamat.
  3. Pengkhabaran tentang pahala khusus yang diperolehi dengan melakukan amalan atau siksaan tertentu seperti sahabat mengatakan sesiapa yang melakukan ini akan mendapat ganjaran ini.

Kedua: Sahabat melakukan sesuatu perkara yang tidak boleh diijtihadkan seperti Sayyidina `Ali bersembahyang gerhana bulan dengan dua ruku’ pada setiap rakaat.

Ketiga: Sahabat melaporkan bahawa mereka selalu mengucapkan demikian, melakukan demikian atau berpendapat tidak mengapa demikian.

  1. Jika disandarkan kepada zaman Rasulullah s.a.w menurut pendapat yang sahih ia adalah marfu’ seperti kata Jabir:  “kami melakukan `azal pada zaman Rasulullah s.a.w”
  2. Jika tidak disandarkan kepada zaman baginda, ia adalah mawquf mengikut majoriti ulama seperti kata-kata Jabir:

“Apabila mendaki kami mengucapkan takbir dan apabila menuruni kami bertasbih”

Keempat: Sahabat mengatakan: “Kami diperintahkan dengan ini, kami dilarang daripada itu, atau termasuk dalam sunnah perkara ini. Contohnya kata-kata setengah sahabat:

“Bilal diperintah supaya menggandakan azan dan menganjilkan iqamah”

Kata-kata Ummu `Atiyyah:

“Kami dilarang dari mengiringi jenazah tetapi tidak diketatkan terhadap kami”

Kata-kata Abu Qilabah daripada Anas:

“Termasuk dalam sunnah apabila seseorang mengahwini dengan anak dara dalam keadaan sudah berkahwin dengan janda, dia boleh berada bersamanya tujuh hari”

Kelima: Perawi mengatakan dalam hadis ketika menyebutkan sahabat dengan perkataan-perkataan yang empat ini, “yarfa’uhu”, “yanmiihi”, “yablughubihi” atau “riwayatan”. Seperti hadis al-A’raj daripada Abu Hurairah “riwayatan”:

“Kamu akan memerangi kaum yang mempunyai mata yang sepet”

Keenam: Sahabat mentafsirkan sesuatu yang berkait dengan sebab turun ayat. Seperti kata-kata Jabir: “Yahudi sering mengatakan sesiapa yang menyetubuhi isterinya pada kemaluannya dari arah belakang maka akan lahir anak yang juling, lalu Allah s.w.t menurunkan ayat surah al-Baqarah ayat 223.”

Bolehkah Berhujah Dengan Hadis Mawquf

Seperti mana yang diketahui, hadis mawquf itu kadang-kadang sahih, hasan atau dhaif tetapi jika terbukti sahih adakah boleh dijadikan hujah? Jawabnya, pada asalnya mawquf itu tidak dijadikan hujah kerana ia adalah ucapan dan perbuatan sahabat. Bagaimanapun jika sabit sebagai sahih ia boleh menguatkan sesetengah hadis dhaif – sebagaimana yang dibincangkan dalam bab hadis mursal – kerana keadaan sahabat adalah beramal dengan sunnah. Ini jika mawquf itu tidak mempunyai hukum marfu’. Apabila mawquf itu mepunyai hukum marfu’ maka ia boleh dijadikan hujah.

 

AL-MAQTU’

Definisi

Dari sudut bahasa, al-Maqtu’ adalah kata nama objek bagi “qata’a” iaitu “memutuskan” lawan kepada “wasala” iaitu “menyambung”.

Dari segi istilah pula, apa yang disandarkan kepada tabi’i atau orang yang lebih rendah daripadanya dalam bentuk ucapan atau perbuatan.

 

Huraian Ta’rif

Iaitu apa yang disandarkan kepada tabi’i atau tabi’ tabi’in dan mereka yang dibawahnya sama ada ucapan atau perbuatan. Al-Maqtu’ berbeza dengan al-Munqati’ kerana al-Maqtu’ adalah sifat matan manakala al-Munqati’ sifat sanad. Dengan kata lain, hadis maqtu’ adalah ucapan tabi’in dan mereka yang di bawahnya yang kadang-kadang sanadnya bersambung-sambung kepada tabi’i tersebut, sedangkan munqati’ bermaksud sanad hadis itu tidak muttasil dan tidak ada kaitan dengan matan.

Contoh

Contoh hadis Maqtu’ qawli: Kata-kata al-Hasan al-Basri tentang sembahyang di belakang ahli bid’ah, “Sembahyanglah kamu (di belakangnya), dia yang bertanggungjawab terhadap bid’ahnya”.

Contoh hadis maqtu’ fi’li: Kata-kata Ibrahim bin Muhammad al-Muntashir:

“Masruq sering melabuhkan tabir di antara dirinya dengan ahli keluarganya, dia terus bersembahyang dan membiarkan mereka dengan urusan dunia mereka.”

Hukum Berhujah Dengannya

Hadis maqtu’ tidak boleh dijadikan hujah dalam mana-mana hukum syara’ walaupun sah sandarannya kepada tuannya kerana ia hanya ucapan atau perbuatan salah seorang muslim. Bagaimanapun jika terdapat qarinah atau tanda yang menunjukkan ia marfu’ maka ia dianggap mempunyai hukum hadis marfu’ mursal seperti kata-kata sesetengah perawi ketika menyebutkan tabi’in “yarfa’uhu” (mengangkatnya kepada Rasulullah s.a.w) maka maqtu’ itu dianggap memppunyai hukum marfu’mursal.

Penamaan Maqtu’ Dengan Munqati’

Sesetengah ulama hadis seperti al-Shafi’i dan al-Tabarani menyebutkan “Maqtu’ “ dan mereka memaksudkan hadis munqati’ iaitu hadis yang tidak bersambung sanadnya. Bagaimanapun istilah ini tidak masyhur.

Mungkin alasan yang boleh diberikan bagi pihak Imam al-Safi’i iaitu penggunaan istilah itu belum lagi menjadi istilah mantap. Manakala bagi pihak al-Tabarani, ia dikira sebagai menggunakan bahasa pinjaman bukan dengan ma’na istilah.

Kitab-Kitab Tentang Hadis Mawquf Dan Maqtu’

  1. Musannaf Ibn Abi Shaybah
  2. Nysabbaf `Abd al-Razaq
  3. Tafsir al-Tabari, Ibn Abi Hatim dan Ibn al-Mundhir

 

Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

Sesi 40 – Mengenali Perawi Thiqah Yang Mengalami Ikhtilat

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 29- Feb-16     MENGENALI PERAWI THIQAH YANG MENGALAMI …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>