Breaking News
Home / darulkautsar.net / Hadis Online / Asas / Mustholah Hadis / Sesi 22 – Al-Maqlub, Al-Mazid Fi Muttasil Al-Asanid, Al-Mudtarib
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

Sesi 22 – Al-Maqlub, Al-Mazid Fi Muttasil Al-Asanid, Al-Mudtarib

Download PDF
Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 25 Okt 15

 

 

AL-MAQLUB

Definisinya

Dari segi bahasa ia adalah kata nama objek daripada “al-qalb” iaitu memusingkan sesuatu dari mukanya.

Dari segi istilah pula menukarkan lafaz dengan yang lain pada sanad atau pada matan dengan cara mendahulukan, mengkemudiankan atau lain-lain.

Bahagian-Bahagiannya

Hadis maqlub terbahagi kepada dua bahagian utama iaitu Maqlub al-Sanad  dan Maqlub al-Matn

Maqlub al-Sanad

Penukaran yang berlaku pada sanad.  Ia mempunyai dua bentuk:

  1. Perawi mendahulukan dan mengemudiankan nama salah seorang perawi dan nama ayahnya seperti hadis yang diriwayatkan oleh Ka’ab bin Murrah lalu seorang meriwayatkan dengan Murrah bin Ka’ab.
  1. Perawi menukarkan seseorang dengan seorang yang lain dengan tujuan untuk menjadikannya “gharib” seperti hadis yang terkenal daripada Salim lalu dijadikan daripada Nafi’.

Antara perawi yang sering melakukannya ialah Hammad bin Amr al-Nasibi.  Contohnya ialah:

Hadis yang diriwayatkan oleh Hammad bin `Amr al-Nasibi dari al-A’mash daripada Abu Salih daripada Abu Hurayrah secara murfu’.

“Apabila kamu bertemu dengan orang musyrik di jalanan maka jangan dahulukan mereka dengan ucapan salam”.

Hadis ini maqlub kerana Hammad telah menukarkannya dengan menjadikannya daripada al-A’mash.  Sebenarnya hadis ini ma’ruf daripada Suhayl bin Abu Salih daripada bapanya daripada Abu Hurayrah.  Beginilah yang ditakhrijkan oleh Muslim di dalam Sahihnya.1Bentuk penukaran ini menyebabkan perawinya dikenali sebagai pencuri hadis.

Maqlub al-Matn

Penukaran yang berlaku pada matan.  Ia mempunyai dua bentuk:

  1. Perawi mendahulukan dan mengkemudiankan sebahagian matan hadis. Contohnya:  Hadis Abu Hurayrah di dalam Sahih Muslim tentang tujuh golongan yang mendapat teduhan Allah pada hari tiada teduhan selan teduhan-Nya.  Lafaz tersebut ialah:

“dan seorang lelaki bersedekah dengan menyembunyikannya sehingga tangan kanannya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kirinya.”.

Ini adalah penukaran yang telah dilakukan oleh sesetengah perawi.

Sebenarnya ialah:

“Sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya.”

  1. Perawi meletakkan matan sebuah hadis pada sanad yang lain dan meletakkan sanad hadis pada matan lain. Tujuannya antara lain ialah untuk menguji.  Contohnya sekumpulan ulama hadis Banghdad telah membalikkan seratus hadis untuk Imam al-Bukhari dan bertanya kepada beliau sebagai menguji daya ingatannnya. Lalu beliau mengembalikan kesemua hadis yang telah dibalikkan kepada keadaan asalnya tanpa melakukan sedikit kesalahan pun.

Sebab-Sebab Yang Mendorong Membalikkan Hadis

Ada beberapa sebab yang mendorong berlakunya pembalikan pada hadis. Antaranya ialah:

  1. Bertujuan untuk menjadikan hadis itu “gharib” lalu orang ramai tertarik untuk mengambil dan meriwayatkannya.
  2. Untuk menguji dan memastikan daya hafalan seorang ulama hadis dan juga ketepatannya.
  3. Berlaku kesilapan yang tidak disengajakan.

Hukum Membalikkan Hadis

  1. Jika membalikkan itu dengan tujuan menjadikannya “gharib”, tidak syak lagi itu tidak harus kerana mengubah hadis dan ini kerja pereka-pereka hadis.
  1. Jika dengan tujuan untuk menguji maka harus bagi mendapatkan kepastian ingatan ulama hadis dan sejauh mana keahliannya. Bagaimanapun sebelum majlis itu berakhir hendaklah dijelaskan manakah sebenarnya yang sahih.
  1. Jika berlaku secara tersilap atau lupa maka pelakunya dimaafkan tetapi apabila sering kali berlaku itu mencacatkan ketepatannya dan menjadikannya perawi yang da’if.

Ringkasnya, hadis maqlub termasuk dalam kagegori hadis da’if yang ditolak sebagaimana yang jelas diketahui.

Karangan Yang Terkenal

“Rafi’ al-Irtiyab Fi al-Maqlub Min al-Asma’ Wa al-Alqab” karangan al-Khatib al-Baghdadi. Jelas daripada namanya, kitab ini khusus dengan hadis maqlub sanad sahaja.

 

AL-MAZID FI MUTTASIL AL-ASANID

Definisinya Dari segi bahasanya ia adalah kata nama objek daripada “al-ziyadah” iaitu menambahkan. “Al-muttasil” kata lawanan bagi “al-Munqati’ “ dan “al-Asanid” jama’ bagi “Isnad”.

Dari segi istilah pula bermaksud penambahan perawi pada pertengahan sanad yang zahirnya kelihatan bersambung-sambung.

Contohnya:

Hadis yang diriwayatkan oleh Ibn al-Mubarak, katanya, Sufyan telah menceritakan kepada kami daripada `Abdul Rahman bin Yazid katanya, Busr bin `Ubaydullah telah menceritakan kepada kami katanya, saya mendengar Abu Idris berkata saya mendengar Wathilah berkata, saya mendengar Abu Marthad berkata, saya mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: “Jangan kamu duduk di atas kubur dan jangan bersembahyang dengan menghadapnya.”

Penambahan Dalam Contoh Ayat Di Atas

Penambahan dalam contoh di atas berlaku pada dua tempat. Tempat pertama pada lafaz Sufyan dan tempat kedua pada lafaz Abu Idris. Sebab berlakunya penambahan pada kedua-dua tempat ini adalah waham daripada perawi.

  1. Lafaz Sufyan adalah waham daripada perawi sebelum Ibn al-Mubarak kerana beberapa orang perawi thiqah meriwayatkan hadis ini daripada Ibn al-Mubarak secara langsung daripada `Abdul Rahman bin Yazid. Malah sesetengah mereka menyatakan dengan jelas pengkhabaran `Abdul Rahman bin Yazid. Malah sesetengah mereka menyatakan dengan jelas pengkhabaran `Abdul Rahman bin Yazid kepada Ibn al-Mubarak.
  1. Penambahan lafaz Abu Idris itu adalah waham yang berpunca daripada Ibn al-Mubarak kerana beberapa orang perawi thiqah meriwayatkan hadis ini daripada `Abdul Rahman bin Yazid tanpa menyebutkan Abu Idris. Di antara mereka ada yang menyebutkan dengan jelas bahawa Busr mendengar secara langsung daripada Wathilah.

Syarat-Syarat Penolakan Penambahan Perawi

Dua syarat mesti dipenuhi bagi menolak tambahan itu dan itu dianggap sebagai waham daripada perawi yang menambahkannya:

  1. Perawi yang tidak menambahkan itu lebih kuat ingatan dan kemas daripada perawi yang menambahkan.
  1. Adanya penjelasan bahawa perawi mendengar sendiri pada tempat tambahan. Sekiranya kedua-dua syarat ini tidak dipenuhi tambahan ini dikira sebagai kuat dan diterima. Sanad yang tidak mempunyai tambahan ini dianggap sebagai “munqati’ “ . Cuma terputus sanad itu secara tersembunyi dan dinamakan sebagai “al-Mursal al-Khafiy”.

Kritikan terhadap Dakwaan Wujudnya Penambahan

Dakwaan wujudnya penambahan itu dikritik dengan dua perkara:

  1. Jika sanad yang tidak mempunyai tambahan itu dengan lafaz “ ‘an” pada tempat tambahan maka sepatutnya sanad itu dianggap “munqati’ “.
  1. Jika dinyatakan dengan jelas perawi itu mendengar sendiri, ada kemungkinan dia mendengar hadis itu melalui perantaraan seorang perawi dan setelah itu baru dia mendengar secara langsung.

Kritikan Ini Boleh Dijawab Dengan Berikut:

  1. Kritikan pertama boleh diterima dan masuk akal.
  2. Andaian pada kritikan kedua itu mungkin terjadi. Bagaimanapun ulama tidak memutuskan penambahan itu sebagai waham kecuali bila terdapat tanda dan bukti.

Karangan yang terkenal

“Tamyiz al-Mazid Fi Muttasil al-Asananid” karangan al-Khatib al-Baghdadi.

 

AL-MUDTARIB

Definisinya

Dari segi bahasa ia adalah kata nama pelaku daripada “al-Idtirab“ iaitu keadaan tidak tetap dan kucar-kacir. Asalnya daripada “idtarab al-Mawj” iaitu ombak bergelora apabila banyak pergerakan dan saling memukul.

Dari segi istilah pula hadis yang diriwayatkan secara berlainan tetapi sama dari segi kekuatan.

Huraian Ta’rif

Hadis yang diriwayatkan dengan cara yang saling bertentangan sehingga tidak dapat diselaraskan antara satu sama lain. Kesemua riwayat itu sama kekuatan dari semua sudut sehingga tidak dapat ditarjihkan dengan mana-mana sudut pentarjihan.

Syarat Kewujudannya

Dengan memerhatikan kepada ta’rif dan huraiannya, jelas bahawa sesebuah hadis tidak dinamakan dengan mudtarib kecuali dengan memenuhi dua syarat berikut:

  1. Perbezaan riwayat-riwayat hadis sehingga tidak dapat diselaraskan.
  1. Riwayat-riwayat tersebut dari segi kekuatan sehingga tidak dapat ditarjihkan satu riwayat daripada riwayat yang lain.

Namun apabila salah satu riwayat dapat ditarjihkan atau boleh dijamakkan dengan cara yang diakui maka sifat tidak tetap atau kegoncangan itu hilang daripada hadis tersebut. Dalam hal pentarjihan, riwayat yang ditarjihkan itu diamalkan manakala dalam hal penyelarasan, maka kesemua riwayat yang diselaraskan dapat diamalkan.

Bahagian-bahagiannya:

Berdasarkan kepada tempat berlaku kegoncangan, “mudtarib” terbahagi kepada dua, “mudtarib al-Sanad” dan “mudtarib al-Matn”.

Mudtarib al-Sanad

Contohnya, hadis Abu Bakar katanya: “Wahai Rasulullah, saya melihat tuan sudah beruban, Baginda menjawab: “Surah Hud dan saudara-saudaranya telah menyebabkan saya beruban”

Al-Daruqutni berkata: Ini hadis “mudtarib” kerana ia hanya diriwayatkan daripada jalan Abu Ishaq. Lebih kurang terdapat sepuluh cara bagaimana hadis ini diriwayatkan daripadanya. Ada dari kalangan perawi meriwayatkannya secara “mursal”, ada secara “mawsul” (bersambung-sambung), ada yang menjadikannya “musnad Abu Bakar”, ada yang menjadikannya “musnad Sa’d”, ada yang menyebutkannya sebagai “musnad`A’ishah” dan sebagainya. Perawi-perawinya adalah thiqah dan tidak dapat tarjihkan antara satu sama lain begitu juga tidak dapat diselaraskan.

Mudtarib al-Matn

Contohnya, hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi “Daripada Sharik daripada Abu Hamzah daripada al-Sha’bi daripada Fatimah binti Qays katanya: “Rasulullah s.a.w telah ditanya tentang zakat: Lalu baginda bersabda: Sesungguhnya dalam harta itu ada hak selain zakat.

Dan Ibn Majah meriwayatkan sanad ini dengan lafaz: “Tidak ada hak (kewajiban) pada harta selain dari zakat” Kata al-`Iraqi: ini adalah kegoncangan yang tidak dapat dita’wilkan.

Siapakah Punca Berlakunya Kegoncangan

Kadang-kadang kegoncangan berpunca daripada seorang perawi sahaja iaitu dengan meriwayatkan hadis yang sama dengan pelbagai cara. Kadang-kadang terjadi kerana kumpulan perawi yang ramai iaitu masing-masing meriwayatkan dengan cara yang berbeza antara satu sama lain.

Sebab Dhaifnya Hadis Mudtarib

Dhaifnya hadis “mudtarib” kerana kegoncangan itu menunjukkan kepada ketidaktepatan para perawinya.

Kitab Yang Masyhur

“Al-Muqtarib Fi Bayan al-Mudtarib” oleh Hafiz Ibnu Hajar.

Share...Tweet about this on TwitterPrint this pagePin on PinterestShare on LinkedInShare on FacebookShare on Google+Digg this
Download PDF

Check Also

Sesi 40 – Mengenali Perawi Thiqah Yang Mengalami Ikhtilat

Ust Mohd Hanief Awang Yahaya – 29- Feb-16     MENGENALI PERAWI THIQAH YANG MENGALAMI …

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>