Home / darulkautsar.net / Bahaya Syiah / SYIAH DI MALAYSIA / “SAASATUL IBAAD”: FAISAL TEHRANI MENGAKU SYIAH
Klik Untuk Ke Laman Darulkautsar Indeks

“SAASATUL IBAAD”: FAISAL TEHRANI MENGAKU SYIAH

Download PDF

 

(Dipetik dari: http://zukriaksah.com/utama/?p=221)

Ini buku terbaru yang saya baca, kali ini bukan dari kategori non-fiksi, ia sebuah novel, berlatarkan sejarah tahun 1699, dalam Kerajaan Johor Lama, yang kesudahannya saya rasa semua tahu dan maklum, kerana ia pernah difilemkan, Sultan Mahmud Mangkat Di Julang.

Novel ini adalah tulisan Faisal Tehrani, penulis muda yang sedang membina nama sebagai penulis tersohor. Saya mula menggemari gaya bahasa Faisal sejak mula berkenalan dengan karyanya lewat 1515. Sebelum itu saya hanya membaca novel Melayu karya Abd. Talib Hassan ataupun Abdul Rahim Awang. Penulis-penulis hebat biasanya membawa personaliti mereka dalam penulisan, begitulah Abd. Talib Hassan, begitulah Abdul Rahim Awang, maka begitulah juga si Faisal Tehrani ini.

“Saasatul Ibaad” maksudnya pemain politik, ringkasnya ia bercerita tentang pemain-pemain utama dalam senario politik Johor Lama di sekitar tahun 1699 itu, cerita ini berkisar di sekitar watak-watak benar yang difiksyenkan secara sangat baik oleh Faisal.

Di sebalik langgam bahasanya yang mengasyikkan, Faisal ternyata telah sangat menggusarkan saya. Menggunakan kehalusan ayat-ayatnya, Faisal melemparkan dan mengajar doktrin Syiah, lebih dari itu meletak watak-watak utama dalam Kerajaan Johor Lama seperti Bendahara Tun Habib Abdul Majid, anakandanya Bendahara Tun Abdul Jalil (kemudiannya Sultan) dan guru mereka Orang Kaya Dato Utama Mahdi Hasan dari Naning sebagai pengamal Syiah. Ya, saya faham atas nama fiksyen dan kreativiti, sejarah boleh dilakar dengan apa sahaja rupa dan wajah, tetapi seperti saya katakan tadi, penulis hebat biasanya membawa personaliti mereka di dalam penulisan, dan itulah personaliti Faisal Tehrani. Kehebatan seni Faisal Tehrani nampaknya semakin hari semakin dicemari propaganda ideologinya sendiri.

Sebagai sebuah novel yang berkait dengan cara pemerintahan baik, tidak kisahlah jika Faisal hanya mahu menurunkan pesan-pesan yang pernah disampaikan oleh Saidina Ali Abi Talib sahaja, padahal banyak lagi pesan pasal pemerintahan negara yang boleh dikutip hasil titipan tiga lagi Khulafa’ ur-Rasyidin, Saidina Abu Bakar, Omar dan Osman. Saya juga tidak ralat bila Faisal memasukkan berderet hadis-hadis yang bersanadkan Muhammad ibn Ya’kub al-Kulaini (yang didakwa sebagai ahli hadis paling baik dan paling awal), yang dikenal sebagai mujadid Syiah ketiga. Faisal mungkin sahaja boleh berkata itu kata orang, bukan kata-katanya sendiri.

Tetapi sebuah pantun yang digarap Faisal dan dimasukkan ke dalam novel ini betul-betul menderau darah saya, perhatikan baris-barisnya;

Ada berempat sahabat Nabi,

Ada seorang jadi khalifah,

Abu Bakar, Omar, Osman, dan Ali,

Saidina Ali suami Fatimah.

Faisal nampaknya menganut faham bahawa tidak wujud khulafa’ ur-rasyidin, kerana bagi Faisal, Abu Bakar, Omar dan Osman itu bukan khalifah, hanya Saidina Ali seorang sahaja.

Fasal mensyiahkan Kerajaan Johor Lama pula, Faisal jelas melarik propaganda ini dalam satu dialog Dato Utama Mahdi Hasan, “Sudah. Cakap tuan itu laut yang bahaya. Seperti teluk disangka elok, pulaunya kecil berbahaya, ada batu berendam juga gelombang dan karang yang mengancam. Moleklah disimpan perkara sampai tiba masanya. Mungkin bukan kerja kita. Mungkin zaman Abdul Jalil bila sudah ada peluang dan tersedia ruang, akan kita lakukan perubahan yang pernah kita rencanakan. Johor akan mendapat manusia seperti Alaudin, seperti Aceh pernah mendapat ia, bila tiba masanya. Dan kalau diizinkan Allah dan para sayyid, akan kita dapat negeri walaupun jauh dari Madinah, jauh dari Kufah. Dengan negeri itu kita menantinya nanti kembali mendiri pemerintahan di Kufah.”

Yang lain-lain dari novel ini, yang saya rasa penting juga untuk saya perturunkan di sini sebagai persoalan yang boleh dibincangkan adalah kecenderungan Faisal untuk menggambarkan kebejatan pemimpin dalam novelnya dengan aktiviti seks songsang. Kalau dulu dalam 1515, Puteri Kembang Piah digambarkan sebagai lesbian, dalam Saasatul Ibaad ini pula Sultan Mahmud digambarkan sebagai seorang pelaku homoseks.

Entahlah, kalau ikut di kulit belakang novel ini, Saasatul Ibaad dikatakan sebagai karya Faisal yang paling bercita-cita besar dan provokatif, tetapi bagi saya novel ini tidak lebih sebagai sebuah naskah dakwah seorang mubaligh Syiah yang dikarang indah.

Sumber: http://al-ahkam.net/home/modules.php?op=modload&name=News&file=article&sid=135514

Download PDF

Check Also

Syiah Melayu

Post Views: 807 Share...TwitterPrintPinterestLinkedinFacebookDigg

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *